Sunday 15 March 2015

JBDM BAB 1 - 5

Bab 1
1900, Kampung Tenung Bulan
Kabupaten Cilacap, Jawa Tengah
            Ombak kuat menghempas pantai. Angin bertiup keras bagaikan memberi amaran. Ambarningsih dapat merasakan ini malamnya. Matanya tajam memerhatikan bayang-bayang cahaya bulan penuh di permukaan air laut yang bergulung-gulung, berkilau-kilauan. Perempuan itu yang cuma berkemban dengan kain batik di badan, memberi isyarat supaya upacara menyemah pantai itu dimulakan. Seekor kambing jantan yang ditambat di batang pokok kelapa, tidak jauh dari situ, ditarik ke pesisir pantai. Kudrat seorang pemuda diperlukan untuk memegang tali yang terikat pada batang leher binatang itu bagi mengawalnya supaya tidak terlepas.
            Ambarningsih menggenggam kujang di tangan. Sebilah senjata unik yang diperbuat dari campuran besi, logam dan pamor. Dipercayai memiliki sakral dan kekuatan magisnya tersendiri. Dan dengan senjata itulah, Ambarningsih mahu melakukan penyembelihan. Kambing jantan dari baka yang baik itulah persembahan untuk korbannya pada malam ini. Dia tidak boleh berlengah lagi. Ini kerana malam inilah malam Rebo Wekasan. Malam Rabu terakhir di bulan Safar yang bagi perempuan itu dan kuncu-kuncunya adalah malam di mana segala macam petaka dan celaka turun ke dunia. Pintu kejahatan terkuak seluas-luasnya.
            “Berhenti!!!”
            Memetir satu suara menyebabkan Ambarningsih dan yang lain-lain tersentak. Perempuan itu berkalih mencari gerangan siapa yang berani mengganggu upacara keramatnya itu. Ambarningsih merengus marah. Mengharap bulan mengambang penuh itu terus-terusan tergantung di langit hitam tanpa dilitupi kepul-kepul awan yang berarak.
            “Kau jangan halang aku! Ini untuk kebaikan kampung kita juga. Aku buat semua ini untuk maslahat semua. Apa yang kau tahu?” Ambarningsih rasa tercabar. Manakan tidak, dia ditegur oleh adik kandungnya sendiri, Ambarwati. Ambarwati yang sering dianggapnya sebagai seteru dia dalam banyak perkara. Tidaklah dia membenci si adik tetapi Ambarningsih merasakan Ambarwati selalu berlagak mulia. Lihat sajalah penampilannya saban kali keluar di khalayak ramai, sentiasa auratnya terjaga. Berkerudung labuh dan menunduk saja jalannya. Ambarningsih tidak suka. Dia menyampah entah kenapa.
            “Maslahat, kau kata? Ini musibat! Sudah-sudahlah, Ningsih. Marilah kita pulang. Apa yang mbakyu buat ini, tidak betul,” Ambarwati cuba memujuk si kakak yang tebal dengan kepercayaan karut-marutnya.
            “Tidak betul di mata kau seorang saja! Sebelum mata kujang di tangan aku ke leher kau, lebih baik kau saja yang pulang! Aku tidak mahu membuang masa lagi. Minggu ini saja sudah banyak kacau-bilau berlaku di kampung kita, inilah saja peluang aku hendak menamatkannya!”
            “Niat tidak menghalalkan cara, mbakyu ku Ningsih.”
            Ambarwati merayu supaya Ambarningsih menghentikan upacara yang baginya tidak masuk akal itu. Memohon dari jembalang laut untuk melindungi kampung itu bagaikan menyimbah minyak tanah ke dalam api. Bukan makin memadam tetapi makin marak terbakar. Ambarwati takut kalau-kalau kampung itu diturunkan azab ALLAH lantaran terlalu banyak kepercayaan tahyul dan ilmu terpesong yang diamalkan sebahagian penduduknya.
            Pujuk rayu Ambarwati langsung tidak diendahkan Ambarningsih. Malahan perempuan itu tetap meneruskan upacaranya. Jampi serapah terkumat-kamit dibacanya, menyeru semangat pantai. Kuncu-kuncu Ambarningsih turut sama duduk bersila di pesisir pantai dan di depan mereka semua, diletakkan telur rebus yang sudah dikupas kulitnya, pulut kuning yang dikepal mengikut bentuk binatang berkaki empat dan segumpal bertih tangan lelaki dewasa. Acak-acak ini semua diletakkan di atas rakit kecil dan akan dialirkan ke lautan. Asap kemenyan berkepul-kepul naik ke udara membawa sekali bauan keras yang mencucuk deria hidu.
            Tidak lengkap hidangan menjamu itu tanpa darah segar kambing jantan. Ambarningsih sekali lagi bergerak-gerak bibirnya membaca mantera khusus. Mata hitamnya naik ke atas. Ambarwati yang menjadi saksi upacara menyemah pantai itu, hanya mampu memperbaharui syahadahnya sambil zikir tahmid, tasbih, takbir dan tahlil tidak kering di hujung lidah. Hanya kepada ALLAH dia berserah. Berlari-lari anak dia menjauhi Ambarningsih dan kumpulannya yang sedang menurun, seakan-akan diresapi satu tenaga yang halus sifatnya. Ambarwati tahu dia tidak sepatutnya berada di situ tetapi demi menyelamatkan akidah si kakak, dia memberanikan diri.       Tetapi sayang sekali, nasihatnya seperti mencurah air di daun keladi.
            Ambarwati berlari menyorok di balik batu besar. Dan dari jauh, dia mengintai setiap pergerakan Ambarningsih. Meremang bulu roma Ambarwati apabila melihat kakaknya itu sedang menggoroh batang leher kambing jantan yang tertambat di situ dengan rakus sekali. Darah merah yang mengalir deras, ditampung dengan sebuah mangkuk jernih. Penuh satu mangkuk, Ambarningsih menampung dengan mangkuk yang lain pula. Sekarang, sudah lengkaplah hidangan acak-acak untuk dijamu pada penjaga kampung itu yang kelaparan. Tinggal menunggu arahan Ambarningsih supaya acak-acak itu dilepaskan ke lautan.
            Ambarningsih melaungkan mantera. Mata hitam perempuan itu tidak kelihatan. Ambarwati tahu jasad kakaknya itu ditumpangi sesuatu. Begitulah perubahan yang dialami oleh perempuan itu saban kali dia melakukan ritual pemujaan. Gerak-geri kedua-dua belah kakinya, menguis-nguis pasir pantai, membentuk satu paten di permukaan. Kuncu-kuncu Ambarningsih sudah bersedia hendak melepaskan rakit kecil yang mana di atasnya diletakkan makanan dan darah korban. Ambarningsih terus beraksi membuka bunga-bunga persilatan seperti lagaknya seorang pendekar leka memencak.
            “Aku sembah kau dengan penghormatan. Aku jamu kau dengan makanan. Datanglah kau terima habuan. Di malam Rebo Wekasan, kau berikan perlindungan.”
            Sebaik saja mantera dilafazkan, air laut bergelora tinggi. Acak-acak yang dialirkan ke permukaan pantai, sudah dibawa arus ke tengah laut. Angin bertiup kencang luar biasa membawa bau busuk lagi keras. Ambarningsih mulai sedar. Mata hitamnya kembali normal. Dia dengan kuncu-kuncunya duduk berlutut lalu bersujud di permukaan pasir pantai. Menyambut kedatangan makhluk ghaib yang terhijab dari pandangan zahir manusia biasa. Ombak laut semakin menggila. Bagaikan satu petanda apa yang dipuja dan diseru tadi, akan menunjukkan muka. Ambarwati yang sedari tadi, mengintai-intai biarpun diri dalam ketakutan, sudah menggeletar satu badan.
            Terbeliak mata Ambarwati apabila melihat di tengah-tengah lautan, bergulung ombak tinggi mencecah beberapa meter, semakin lama semakin mendekati Ambarningsih dan yang lain-lain. Dia kecut perut. Galau hatinya kalau-kalau gulungan ombak besar itu akan menenggelamkan kakak kandungnya sendiri. Dia hendak keluar dari tempat persembunyiannya itu tetapi langkah Ambarwati terberhenti tidak semena-mena apabila ekor matanya menangkap kelibat satu susuk berkali ganda lebih tinggi dari manusia biasa, muncul di tengah-tengah laut.
            Secara fizikalnya, kelihatan seperti seekor mawas yang besar berbulu kasar, hitam dan lebat. Kedua-dua belah matanya pula merah bak biji saga. Sekali makhluk itu membuka mulut, lidahnya yang panjang terjelir, menyauk semua hidangan acak-acak yang beroleng-oleng dipukul ombak. Ambarwati menggigil menyaksikan apa yang terzahir di penglihatannya. Barangkali, itulah jembalang laut yang dipuja-puja Ambarningsuh selama ini. Lantas Ambarwati membaca Ummul Kitab, surah Al-Fatihah berkali-kali diikuti surah Fussilat ayat 36 sebagai pendinding diri. Dalam ketakutan yang amat sangat, ada secubit keberanian dalam diri Ambarwati untuk melontar pandang ke tengah laut semula.
            Makhluk itu dilihatnya seperti sedang marah. Darah kambing jantan yang dijamu, sedikitpun tidak luak. Dengusannya membuatkan permukaan air laut berkeluk-keluk turun naik. Ambarningsih merafak sembah. Ini pertama kali, hidangan utama tidak disantap. Apa yang membuatkan semangat pantai ini menolak rezeki depan matanya? Ambarningsih berpeluh dingin apabila makhluk  yang memiliki mata merah dan berlidah panjang itu berjalan ke arahnya, selangkah demi selangkah. Kuncu-kuncu perempuan itu sudah berpandangan antara satu sama lain. Mereka sudah berkira-kira hendak cabut lari.
            “Ningsih, apa kita hendak buat sekarang? Aku tak mahu kita semua pula yang dimakannya sebagai galang ganti,” bisik salah seorang orang kuat Ambarningsih.
            “Mustahil! Kita dengar hajatnya dulu. Biar aku saja yang bercakap dengannya,” Ambarningsih berlagak berani di depan kuncu-kuncunya biarpun hakikatnya, dia juga gentar hendak berdepan dengan susuk yang mengerikan itu. Kepala lututnya terasa lemah. Tenggoroknya terasa kesat, ibarat menelan pasir.
            Ambarningsih menarik nafas dalam-dalam. Beberapa langkah di hadapan, makhluk yang muncul dari tengah laut itu sedang merenung tajam ke arahnya. Ambarningsih tertelan air liur berkali-kali. Peluh di dahi merenik keluar. Perlahan-lahan Ambarningsih mendongak kepalanya ke atas. Bagai mahu terkeluar jantung dari tempatnya apabila melihat kelibat hitam yang melayut tinggi dan berbidang besar rangka tubuhnya itu, menyauk salah seorang daripada kuncu-kuncunya lalu dicampak ke tengah laut. Melambung jauh tubuh pemuda malang itu, terkapai-kapai hendak menyelamatkan diri dari tenggelam dan lemas. Ambarningsih semakin gusar hatinya. Apa yang membuatkan semangat pantai ini mengamuk dan marah-marah?
            Sepasang mata merah biji saga makhluk itu merenung dalam-dalam ke mata Ambarningsih. Tidak semena-mena, tubuh Ambarningsih yang berkemban kain batik itu terangkat ke udara. Kedua-dua belah kakinya tidak menjejak bumi. Urat-urat pada batang leher perempuan itu mulai kelihatan timbul-timbul. Orang-orang kuat Ambarningsih sudah kalut. Dua orang daripada mereka memberanikan diri cuba hendak menurunkan perempuan itu ke bawah tetapi tubuh mereka pula yang terpelanting. Bagaikan ada tangan ghaib yang melibas kedua-duanya hingga terguling-guling mencium tanah.
            Ambarningsih mulai membiru mukanya lantaran batang lehernya seperti dicekik kuat menyebabkan dia tidak boleh bernafas. Kakinya sudah meronta-ronta. Ambarningsih cuba hendak berkata-kata tetapi tidak berupaya. Ambarwati yang memerhatikan keadaan semakin genting, merasakan dirinya perlu bertindak. Jika tidak, nyawa kakaknya pula dalam bahaya. Ambarwati mengambil segenggam tanah pasir lalu dibacakan ayatul Kursi dan ditiupkan pada tanah itu tadi. Ambarwati meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada ALLAH yang Maha Berkuasa. Gumpalan tanah itu dicampak tinggi ke udara sebagai pelengkap syarat.
            “Allahu akbar!” ucap Ambarwati ketika membalingnya. Lafaz agung yang perlahan saja disebutnya tetapi kesannya, dengan izin ALLAH, Ambarningsih rebah jatuh ke tanah. Kelibat makhluk menakutkan yang munculnya dari tengah laut itu ghaib entah ke mana. Lautan yang bergelombang tidak semena-mena kembali mereda. Kuncu-kuncu Ambarningsih menerpa ke arah perempuan itu, bimbang akan keselamatan ketua mereka yang tidak sedarkan diri. Ambarwati yang sedari tadi, menyorok di balik batu besar, berlari-lari anak keluar dari tempatnya bersembunyi dan bersegera mendapatkan Ambarningsih.
            “Ningsih, bangun Ningsih!” Ambarwati menggerak-gerakkan tubuh si kakak yang tidak bergerak. Kepala Ambarningsih diletakkan di peha, rambut perempuan itu dirapikan. Kuncu-kuncu Ambarningsih mengerumun kedua-dua perempuan itu. Pantas tangan Ambarwati menutup bahagian atas dada dan bahu kakaknya yang terdedah itu dengan sehelai kain hitam yang digunakan untuk upacara menyemah pantai itu tadi. Tidak mahu aurat kakaknya menjadi tatapan. Ambarwati sekali lagi cuba mengejutkan Ambarningsih dan kali ini perempuan itu perlahan-lahan membukakan kelopak matanya.
            “Wati...” panggil Ambarningsih sebaik melihat tampang si adik. Perempuan itu cuba bangun dan matanya meliar memandang keadaan sekeliling. Ternyata suasana pantai kelihatan tenang-tenang sahaja bahkan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Ambarningsih mengerah otaknya untuk mengingati semula apa yang telah berlaku. Mendadak satu badannya menggeletar. Bangkai kambing jantan yang membawa bau hamis mencucuk deria hidunya membuatkan Ambarningsih tidak mungkin lupa akan ancaman jembalang laut itu kepadanya.
            “Kampung kita akan ditimpa petaka, Wati! Petaka!” Ambarningsih tiba-tiba bertingkah kalut. Ambarwati tidak faham dengan perubahan emosi kakaknya yang seperti dihurung ketakutan yang amat sangat.
            “Petaka? Maksud mbakyu?”
            “Kampung kita akan dilanda kematian demi kematian yang mendahsyatkan melainkan...” Ambarningsih terberhenti ucapnya di situ. Ambarwati dan yang lain tertunggu-tunggu akan hujah seterusnya yang bakal keluar dari mulut perempuan itu. “Melainkan kita penuhi kemahuannya,”
            “Kemahuan siapa? Jembalang laut tu? Mbakyu jangan terus memperbodohkan diri sendiri!” marah Ambarwati apabila Ambarningsih seperti langsung hilang pedoman dan mempercayai bulat-bulat segala tipu daya dan helah syaitan.
            “Dia tidak mahukan lagi darah kambing jantan. Sebab itu dia mengamuk...”
            “Jadi, syaitan itu mahu apa?” Ambarwati naik berang. Berdamping dengan syaitan dan menganggap mereka kawan adalah satu kesilapan paling dungu yang pernah dibuat oleh kakaknya itu. Apatah lagi menjadikan mereka sebagai pelindung pula. Semuanya tidak masuk akal. Keselamatan kampung itu terletak di tangan penduduknya sendiri dan di bawah lindungan kesejahteraan ALLAH Subhana wa Taala. Bukan jembalang laut itu!
            “Dia mahukan darah anak dara sunti sebagai korban,”
            Ambarwati terkejut mendengarnya. Begitulah resam syaitan apabila dilayan segala kemahuannya. Tidak ubah seperti kaduk naik junjung. Ambarningsih kematian akal. Kalau dia tidak menunaikan hajat itu, semangat pantai akan mengganas dan menyusahkan penduduk kampung yang keluar mencari rezeki di lautan. Jadi, apa ikhtiarnya sekarang? Dia benar-benar buntu!
            “Mengarut! Mengarut semua ni, Ningsih! Mbakyu jangan sekali-kali turutkan permintaan gila ini!”
            “Tapi... jika tidak diturutkan... aku... aku akan menjadi korbannya yang pertama,” terbeliak mata Ambarwati mendengarnya. Allahu akbar! Kakaknya sudah memeterai janji dengan makhluk penghuni neraka. Kenapalah begitu pendek akal sekali Ambarningsih ini berfikir. Ambarwati berjeda. Berjanji dengan syaitan bagaikan satu laknat. Memungkirinya mengakibatkan si pemberi janji akan termakan dengan lafaz sumpahnya sendiri.
            “Sedarkah yang mbakyu sudah melampaui batas!”
            “Ah, kau diam Wati! Kau buat otak aku celaru, tahu?” Ambarningsih merengus. Dia cuba bangun dan berdiri tanpa bantuan Ambarwati yang cuba menolong. Orang-orang kuat perempuan itu semuanya tidak berani membuka mulut. Apatah lagi hendak campur tangan di dalam pertengkaran mulut dua beradik itu. Silap usul bicara, Ambarningsih tidak akan berfikir dua kali untuk menghukum siapa saja. Perempuan itu cukup panas baran sifatnya. Rasionalnya duduk paling belakang. Emosi dan nafsu menunggang duduk di hadapan sekali.
            Terkadang orang kampung sendiri berasa hairan dengan perbezaan karakter dua beradik itu. Ambarwati dikenali sebagai gadis yang terpelihara akidahnya, terpuji akhlaknya dan mempunyai pegangan agama yang kuat. Sebaliknya, Ambarningsih terkenal sebagai perempuan yang suka sekali menuntut ilmu yang salah. Bahkan Ambarningsih menjadi tempat mengadu sebahagian kecil penduduk kampung itu untuk melunaskan dendam mereka. Sihir dan ilmu hitam menjadi mainan perempuan itu. Dia akan menjadi perantara bagi mereka yang hendak berbuat khianat dengan orang lain. Ambarningsih berbangga dengan apa yang dilakukannya itu.
            “Wati tidak akan benarkan mbakyu rentung dalam bakaran api neraka!”
            “Kau jangan halang aku, Wati! Tahulah apa aku hendak buat nanti,”
            “Mbakyu hendak buat apa pula sekarang? Mahu jadi pembunuh semua anak dara dalam kampung ni? Dosa syirik sudah tidak tertanggung, mbakyu. Ingatlah ALLAH...”
            Ambarningsih langsung tidak mengendahkan segala peringatan yang keluar dari mulut adiknya yang baginya suka sangat berlagak serupa malaikat. Dia melepaskan pandangan ke tengah laut yang hitam memekat. Dia akan cuba memikirkan sesuatu bagi memenuhi hajat semangat pantai itu. Bagaimana caranya, itu akan difikirkannya kemudian. Dia punya masa lagi selama sepurnama. Ada sebab dia memperhambakan dirinya kepada makhluk itu. Dan sebab yang satu itulah tidak diketahui oleh siapa-siapa termasuk adik-adiknya.



Bab 2
Sekarang, Kuala Lumpur
            Maya sudah siap-siap berkemas. Pada sebelah malam nanti, dia bersama-sama empat kawan karibnya yang lain akan mengharungi satu perjalanan yang panjang. Mereka akan ke Bachok, Kelantan dari Kuala Lumpur menggunakan jalan darat. Di sana nanti, mereka akan menumpang di rumah orang tua Defi. Defi, anak jati Kelantan dan hanya sekali-sekala pulang ke kampung. Alang-alang Maya beria-ia hendak bercuti dalam negara saja, dia mencadangkan tempat kelahirannya itu untuk mereka berlima bercuti sambil-sambil merehatkan fikiran. Bagi Maya, dia tidak kisah mana-mana asal destinasi yang dituju nanti ada pantai. Dia teruja sekali hendak bermain ombak.
            “Mak tak sedap hatilah Maya nak pergi bercuti ni,” tiba-tiba Mariam meluahkan kebimbangannya yang datang tidak semena-mena itu. Maya tersenyum saja. Emaknya memang begitu. Sejak dari dulu lagi, saban kali dia mahu berenggang sedikit dengan si emak, wanita itu menjadi risau sekali. Waima tidak jauh mana pun pemergiannya, masih dalam negara.
            Mariam memerhati lama wajah manis anak daranya itu. Sungguh, hatinya berantakan tidak tahu apa puncanya. Menggunung risau di dalam dada. Hendak menghalang, apa alasannya pula?
            “Maya pergi bercuti dengan kawan-kawanlah, mak. Bukan sorang pun. Berlima tau. Mak tak payah risau sangat, okey?” pujuk Maya lalu memeluk tubuh si emak yang masih tidak tenteram jiwanya.
            “Pergi lain kali aje, tak boleh? Mak susah hatilah lagi-lagi kamu semua perempuan,” Mariam terus-terusan memuntahkan kebimbangan. Maya seorang sajalah anak perempuannya. Dia takut sekali membayangkan kalau-kalau berlaku sesuatu yang tidak baik terhadap puteri tunggalnya itu.
            “Defi ada sekalilah, mak. Mak macam tak tahu Defi tu kan ada seni mempertahankan diri. Dua tiga orang lelaki pun boleh tumbang kalau beradu dengan dia,” Maya menggeleng-gelengkan kepala apabila melihat emaknya mengeluh kecil. Apa sajalah yang dirisaukan wanita itu? Bukan lama dia ke Kelantan, tolak perjalanan pergi dan balik, adalah lebih kurang dua minggu saja percutian mereka.
            Mariam kecewa kerana nampaknya, Maya tetap tidak berubah fikiran. Alasan demi alasan yang dicipta, sudah dapat dihidu anaknya. Hendak tidak hendak, dia terpaksa melepaskan Maya pergi meski hati berat sekali. Mariam tiba-tiba meluru keluar dari bilik anak perempuannya itu dan beberapa minit kemudian kembali dengan Al-Quran kecil berzip di tangan. Al-Quran itu diunjukkan kepada Maya yang berkerut dahi hendak mengambilnya.
            “Kamu bersih ke kotor sekarang ni?” tanya Mariam merujuk pada kitaran haid anak perempuannya itu.
            “Lambat lagi datangnya. Kenapa mak?” pelik Maya dengan pertanyaan si emak yang tiba-tiba itu.
            “Baguslah kalau macam tu. Al-Quran ni kamu bawa ke mana-mana. Baca selalu, buat pendinding diri,” Maya menganggukkan kepala, akur pada suruhan. Pun begitu, belum sempat dia bertanya lanjut, Mariam sudah pun keluar dari biliknya. Tampang wanita itu keruh saja. Maya hanya mampu mengangkat bahu. Aneh dilihat perangai ibunya petang itu. Maya memeriksa untuk kesekian kali segala kelengkapan yang akan dibawanya sama ada semua sudah cukup atau tidak. Maya berpuas hati. Dia sudah bersedia hendak bertolak ke bumi Kelantan. Tinggal menunggu malam beberapa jam saja lagi.
            Sementara itu, Mariam tidak senang duduk di dalam biliknya. Suaminya, Rahman seperti tidak kisah saja. Langsung tidak menghalang pemergian si anak dengan alasan Maya sudah dewasa dan pandai menjaga diri. Mariam meresah. Wanita itu memaku pandang pada kalendar yang tergantung di dinding. Tidak lama lagi, Maya akan menyambut hari lahirnya yang ke 21 tahun. Bertambah-tambah risau Mariam memikirkan perkara itu. Risaunya bukan dibuat-buat tetapi bersebab!
            Terlintas di dalam kepala Mariam, sepotong nama yang dipercayainya dapat membantu dia dalam keruwetan yang dihadapinya ini. Terus saja telefon bimbitnya dicapai lalu menghubungi nombor pemilik nama itu. Tidak semena-mena, dadanya berdebar-debar. Perasaan yang dia sama sekali tidak suka.
            “Wadi...aku Mariam,” Mariam memperkenalkan diri sebaik saja panggilan bersambut. Diam di hujung talian. Selang beberapa saat, barulah sapaan wanita itu berbalas.
            “Mariam? Macam tak percaya pula kau boleh ingat aku lagi. Kau apa khabar?”
            “Baik. Aku perlukan bantuan kau, Wadi...” Mariam terus saja ke pokok bicara. Tidak mahu berlengah-lengah lagi. Suaranya perlahan saja ketika bercakap. Bimbang kalau-kalau ada yang terdengar.
            “Bantuan yang bagaimana?”
            “Maya...” Mariam menyebut nama anak perempuannya. Wadi terdiam lagi. Agak lama kali ini. “Wadi, kau dengar tidak?”
            “Ya, aku dengar. Kenapa dengan Maya? Masanya sudah tiba?” Wadi mudah saja menangkap galau di hati sahabat lamanya itu.
            “Beberapa hari saja lagi. Aku risau sekali kalau benda tu lunaskan dendamnya yang dulu dan jadikan Maya sebagai sasaran,” adu Mariam meluahkan segala macam rasa resah dan khuatir membilang hari. Hanya Wadi memahaminya.
            “Kau kena pastikan dia di rumah. Jangan bagi dia ke mana-mana. Aku khuatir tubuh halusnya kelak ditakluk. Ini bukan perkara main-main! Kau patutnya bertegas!” keras nada suara Wadi.
            “Inilah masalahnya. Maya mahu ke Kelantan dengan kawan-kawannya. Hendak menegah, merajuk pula Maya nanti. Lagipun, apa alasan aku mahu melarangnya pula?”
            “Beginilah...” Wadi meletakkan koma dalam usulnya. Tertunggu-tunggu Mariam apa yang bakal diucapkan lelaki itu. “Aku suruh Haris iringi perjalanan Maya dengan kawan-kawannya secara senyap-senyap tanpa pengetahuan mereka,”
            “Haris, anak lelaki kau kan Wadi?”
            “Ya. Dia boleh diharap. Kau usah bimbang,”
            “Terima kasih, Wadi. Terima kasih banyak-banyak.” Panggilan ditamatkan sejurus kemudian. Mariam menghela sedikit nafas lega. Sekurang-kurangnya, dengan bantuan Wadi, Maya tidaklah keseorangan. Mariam cuba optimis meski tidak sepenuhnya. Dia keluar dari dalam bilik dan menuju ke ruang tamu. Kelihatan Rahman sedang bersenang-senang membaca suratkhabar. Lalu Mariam melabuhkan punggungnya, duduk di sebelah suami.
            “Macam-macam hal berlaku zaman sekarang,” keluh Rahman tiba-tiba. Matanya masih tertancap di muka akhbar. Hanya mulutnya mengajak sembang, barangkali menyedari keberadaan isteri di sisi.
            “Kenapa bang?”
            “Ini ha, sejak sebulan yang lepas... pihak polis sedang memburu penjenayah bersiri yang dipercayai melakukan jenayah yang sama dalam beberapa kes berulang di seluruh negara. Licik sungguh,”
            Mariam yang baru hendak tenteram perasaannya, digasak pula dengan cerita begini, membuatkan hatinya kembali gundah. Hisy, suaminya ini pun satu!
            “Jenayah apa bang?” Mariam tertarik untuk mengetahui selanjutnya dari pembacaan si suami.
            “Rogol dan bunuh,” pendek saja jawapan Rahman tetapi bagaikan sebongkah batu besar menindan dadanya. Mariam turun naik nafasnya. Wajahnya mendadak pucat lesi. Jantungnya sudah berdegup laju lebih dari biasa. Rahman yang melihat isterinya itu dalam keadaan sedemikian, berkerut dahi kehairanan.
            “Awak ni dah kenapa?”
            “Maya... Saya bimbangkan Maya...”
            “ALLAH... Ini dalam suratkhabar ajelah. Kalau awak nak kaitkan setiap perlakuan jenayah dalam negara ni dengan bimbangkan keselamatan anak, sampai bila-bila pun risau awak tu tak berkesudahan. Awak ni pun!” Rahman yang lebih berfikiran terbuka dan optimis dalam memandang satu-satu perkara, cuba memperbetulkan cara berfikir isterinya yang terlalu berlebih-lebihan apabila memikirkan tentang Maya. Terkadang, dia kasihan melihat anak perempuannya itu yang dikongkong kebebasannya untuk ke mana-mana. Kali ini, sebagai suami, dia akhirnya campur tangan. Apalah salahnya untuk Maya keluar bercuti sambil merehatkan fikiran dengan kawan-kawan? Sementelahan, mereka bercuti beramai-ramai.
            “Awak tak faham...” Mariam sedikit beremosi nadanya. Rahman hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala.
            “Yam...yam... Awak ni paranoid sangatlah. Cubalah untuk kali ini, awak letakkan pergantungan kepada ALLAH sebulat-bulatnya. Boleh?”
            Mariam tidak bereaksi. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Bukan dia hendak bersangka-sangka dengan Tuhan tetapi lumrah naluri seorang ibu, detak hatinya menyampaikan sesuatu. Sesuatu yang buruk akan berlaku. Itu yang paling ditakutinya.

Maya memeluk Mariam dan Rahman sebelum berangkat pergi. Kawan-kawannya yang lain sudah pun menunggu di dalam jip. Mariam kelihatan berat sekali hendak melepaskan anak daranya yang seorang itu sehinggakan Rahman terpaksa meleraikan pelukan dua beranak itu. Maya tersenyum seadanya melihat tampang sugul si emak. Mak...mak... Maya pergi kejap aje pun. Desis Maya di dalam hati. Lambaian terakhir diberikan selepas dirinya sudah berada di dalam jip yang dipandu Defi.
            “Mak kau tak bagi kau ikut kitaorang eh?” tebak Defi selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya melepasi kawasan taman perumahan itu.
            “Macamlah kau tak biasa dengan mak aku tu. Asal aku hendak berjalan jauh sikit, mulalah trauma dia sampai,”
            “Anak dara Puan Mariam ni kan cantik orangnya, mahunya dia tak risau!”
            “Ah, sudahlah kau Def,” Maya menolak bahu Defi, tidak gemar dirinya dipuji-puji begitu. Defi ketawa lepas. “Perjalanan kita mengambil masa berapa lama ni?” tanya Maya menukar topik perbualan.
            “Tujuh lapan jam jugaklah. Itupun kalau kita tak berhenti-henti,” jawab Defi yang sedang kejap memegang stereng. Maya berpusing lehernya dan mengerling ke tempat duduk belakang. Laila dan Rafidah mengukir senyuman melebar serentak. Cuma Suraya saja diperhatikannya sedikit tidak bermaya. Dari mata, Maya sudah boleh tahu. Tampak tidak bersemangat.
            “Kau okey ke tak ni, Su? Senyap aje dari tadi,” sapa Maya sekadar mahu memeriahkan keadaan. Yalah, mereka hendak berjalan jauh, tidak seronoklah kalau ada di antara mereka senyap-senyap saja.
            “Aku kurang sihat sikit...” jawab Suraya perlahan. Maya menjulurkan tangannya ke belakang dan melekapkan belakang telapak tangannya ke dahi Suraya. Tidak panas pun.
            “Yelah tu. Su ni Maya, dia...” Laila yang paling kecoh di antara mereka berlima, ditekup mulutnya oleh Suraya dari terus melanjutkan bicara.
            “Ha, rahsia apa korang sembunyi ni?” Maya berkerut dahi. Rafidah yang sedari tadi sibuk mengunyah kerepek yang dibawanya berbungkus-bungkus bagi mengalas perut sepanjang perjalanan, mencelah tiba-tiba.
            “Su mimpi buruk malam semalam, kononnya percutian kita ni akan berakhir dengan tragedi gitu. Itu yang dia senyap aje,” Rafidah selamba memecah rahsia. Suraya membeliakkan matanya. Rasa mahu dijahit-jahit saja mulut si kuat makan itu.
            “Nama pun mimpi, mainan tidur aje kan. Tak perlulah fikirkan sangat. Kita nak pergi bercuti ni. Enjoy okey Su?” pujuk Maya mengambil berat. Suraya mengangguk lemah. Dia bukan percaya pun pada mimpi tetapi apa yang dialaminya itu, bukan sekali tetapi berulang-ulang. Tiga malam berturut-turut dia mengalami mimpi yang sama. Sehinggakan pada saat akhir, dia hendak saja menarik diri tetapi demi Maya dan persahabatan mereka berlima, Suraya sebolehnya cuba untuk tidak mengambil endah mimpinya yang seakan-akan hendak memberi satu petunjuk.
            Defi terus memandu dan sedar tidak sedar, sudah hampir tiga jam mereka berada di atas jalan raya. Mereka bertolak dari rumah Maya tadi dalam pukul 8.45 malam dan sekarang sudah pun melepasi jam 11.30 malam. Defi masih segar matanya dan dia memang tidak punya masalah untuk memandu jauh. Sudah biasa. Asal ada orang sebelah melayan borak, celiklah matanya tidak kebosanan.
            “Lama dah kau tak balik kampung, Def?” Maya mengajak sembang. Radio yang terpasang, julat suaranya diperlahankan sedikit.
            “Dekat setahun jugaklah. Tapi orang tua aku faham. Dorang pun alhamdulillah sihat tubuh badan, tak adalah risau sangat aku. Cuma nenek aku aje yang penyakit tuanya tak sembuh-sembuh, makin melarat,”
            “Nenek kau sakit apa? Selalu kalau orang tua-tua ada sakit alzheimer,”
            “Alhamdulilah, ingatan dia masih kuat lagi. Nenek aku kaki dia lemah sikit. Dulu masih lagi boleh berjalan tapi sekarang dah terpaksa pakai kerusi roda,”
            “Biasalah orang tua. Badan dah banyak guna. Masa untuk dia berehat,”
            “Betul juga tu. Tapi adakalanya perangai nenek aku tu pelik sikit tau. Dia suka bercakap sendiri, marah-marah, kemudian mulalah semua yang kita buat, ada aje yang tak kena pada mata dia,” luah Defi tentang keadaan neneknya. Defi terus bercerita sehinggalah sembang mereka berdua terberhenti apabila cuping telinga masing-masing menangkap satu bunyi dentingan berima sayup-sayup entah dari mana. Maya memadamkan radio untuk memastikan sama ada bunyi asing itu datangnya dari muzik yang terpasang atau dari luar.
            “Macam bunyi muzik gamelan kan?” bisik Maya perlahan. Defi tertelan air liur. Meremang bulu roma tengkuknya tiba-tiba. Defi meluruskan jari telunjuknya lalu dilekapkan pada bibir. Diam. Suasana bertukar hening buat seketika.
            “Korang... korang dengar tak apa yang aku dengar?” Laila yang duduk di belakang, sudah mengengsot ke depan. Maya dan Defi mengangguk serentak. Laila mengusap-usap pergelangan tangannya. Dia menggerak-gerakkan tubuh Rafidah yang sedang lena selepas kekenyangan makan sejak dari bermulanya perjalanan.
            Rafidah terkejap-kejap kelopak matanya. Baru dia hendak membuka mulut, Laila sudah menunjukkan isyarat diam. Dengan menggunakan gerakan tangan, Laila menyuruh Rafidah memasang telinga. Rafidah menajamkan pendengarannya dan mendadak perempuan itu mendakap Laila di sebelah. Kedua-duanya berpelukan ketakutan.
            Muzik gamelan itu terus-terusan berkumandang, halus bunyinya mengiringi perjalanan mereka berlima beberapa meter jauhnya. Selama tempoh itu, Maya, Defi, Laila dan Rafidah mengunci mulut masing-masing. Malam semakin larut, melepasi pukul 12.00 malam. Debar dalam dada, menendang-nendang keluar. Bagai mahu luruh jantung mereka berempat apabila tiba-tiba saja Suraya yang tadinya tidur lena, boleh pula bangun dan duduk menegak postur badannya tidak semena-mena. Laila dan Rafidah menjerit serentak. Defi yang sedang memandu, tertekan brek mengejut. Mendorong tubuh semua yang ada di dalam jip itu terkehadapan.
            “Su... kau mengigau ke ni Su?” tegur Maya apabila dilihatnya Suraya seperti bukan menjadi dirinya sendiri. Perempuan itu seolah-olak dirasuk sesuatu. Matanya membuntang dan memandang tajam ke satu arah. Maya memberanikan diri menggawang-gawangkan tangannya di depan muka Suraya tetapi tidak sedikit pun anak mata perempuan itu bergerak malahan kelopak matanya langsung tidak berkelip. Suraya menggumam sesuatu dalam bahasa yang tidak mereka fahami. Laila dan Rafidah sudah makin ke tepi tingkap, menjauhkan jarak mereka dari Suraya yang bertingkah aneh.
            “Berpatah balik kalau kalian mahu selamat!” Suraya menderam. Suaranya keras dan besar. Tidak seperti suaranya yang sebenar. Perempuan itu kemudiannya tiba-tiba saja mengangkat kedua-dua belah tangan, berkeluk-keluk di udara. Lagaknya seperti seorang penari yang sedang mempersembahkan tarian gamelan. Terliuk-liuk tangannya dengan lirikan mata yang seakan-akan memberi amaran. Baik Maya, Defi, Laila dan Rafidah sudah merinding bulu roma satu badan.
            “Apa kita nak buat ni, Def?” bisik Maya perlahan.
            “Kita teruskan perjalanan. Aku rasa Suraya ni keteguran. Orang tua aku pandai mengubat. Lagipun, kita dah berbaki separuh perjalanan. Takkan nak patah balik tak pasal-pasal?”
            Hendak tidak hendak, Maya terpaksa akur. Mereka berserah saja pada Tuhan. Suraya berkeadaan begitu selama beberapa minit sebelum perempuan itu rebah pengsan tidak lama kemudian. Jip yang membawa lima orang anak dara itu terus meredah malam yang kian melarut. Laila dan Rafidah masih takut-takut hendak mendekati Suraya. Mereka tidak dapat membayangkan kalau-kalau perempuan itu tiba-tiba bangun dan berperilaku seperti tadi. Mahunya mereka pula yang terjerit-jerit seperti orang terkena histeria.
           





Bab 3
            Maya menghela nafas lega. Akhirnya mereka sampai juga di kampung Defi selepas lebih lapan jam berada di atas jalan raya. Kelihatan rumah kayu bertiang tinggi itu sudah bercahaya malap di dalamnya. Maya menilik jam di pergelangan tangannya, sudah menghampiri pukul 5.00 pagi. Barangkali, orang tua Defi sudah bangun mempersiapkan diri untuk Subuh. Lazimnya, orang tua-tua di kampung begitulah rutin mereka. Defi mengajak Maya, Laila, Rafidah dan Suraya untuk masuk ke dalam. Suraya yang masih dalam keadaan lemah, dipimpin Laila dan Rafidah menaiki tangga kayu sebelum menuju ke pintu.
            Sementara Maya yang paling belakang, masih termangu di situ. Memerhatikan seni binaan rumah tradisional yang menarik perhatiannya. Defi mendekati kawannya itu. Telapak tangannya hinggap di bahu Maya membuatkan perempuan itu sedikit terperanjat.
            “Maaf, kalau aku terkejutkan kau. Hmm... apa kau ralit sangat perhatikan rumah kampung aku ni, Maya?” tanya Defi yang merasakan tiada apa-apa yang istimewa pun pada rumah warisannya itu. Yalah, dia dibesarkan di situ sedari kecil. Sudah biasa menengoknya saban hari. Mungkin pada mereka yang pertama kali melihat, merasakan rumah orang tuanya itu ada nilai estetiknya tersendiri. Entahlah.
            “Aku kagum dengan rekabentuknya. Tak silap aku... ini rumah perabung lima, bukan?” soal Maya semula. Matanya masih leka memerhatikan dari hujung bumbung rumah tradisional itu sehinggalah ke kaki rumah berkenaan. Sungguh, dia terpesona dengan sentuhan pertukangan etniknya.
            “Haah, rumah lama ni. Orang tua aku tak pernah ubahsuai pun melainkan pada atapnya,”
            “Kenapa dengan atapnya?”
            “Err...tak ada apa-apalah. Jomlah, kita masuk. Esok siang-siang kau boleh tenung lagi rumah aku ni sampai terkeluar biji mata. He...he...he...” Defi menarik pergelangan tangan Maya. Riak kalut pada wajah cuba diserikan dengan senyuman melebar. Defi mengetuk pintu rumah dan melaungkan salam. Kedengaran salam suci yang diberi, bersambut dari dalam. Lembut saja suaranya.
            “Ya ALLAH! Budak bertuah ni balik tak bagitahu ibu!” membulat mata Hanum apabila melihat anak daranya sudah tercegat berdiri di muka pintu. Dua anak-beranak itu berpelukan erat.
            “Surprise! He...he...he... Defi bawak kawan-kawan sekali ni, bu. Mereka nak duduk sini dalam dua minggu, cuti-cuti Malaysia lebih kurang macam tu. Boleh kan, bu?”
            “ALLAH... apa tak bolehnya? Lagilah ibu suka! Ajak kawan-kawan masuk,” Hanum teruja bukan kepalang menyambut kepulangan Defi dan kawan-kawannya itu. Jarang-jarang sekali rumah mereka diserikan dengan tetamu, tetapi hari ini rumah warisan yang besar itu meriah dengan kehadiran Maya, Laila, Rafidah dan Suraya. Hanum memeluk batang tubuh setiap seorangnya, penuh mesra.
            “Siapa yang datang tu, Hanum?” laung satu suara garau dari bilik utama. Muncul sesusuk tubuh yang sudah siap-siap berjubah putih dengan kopiah berlilit serban di kepala. Defi meluru meraih tangan ayahnya.
            “Anak ayahlah, siapa lagi? He...he...he...” Defi memperlihatkan sisi manjanya. Lutfi mengukir riak gembira di wajah. Tergeleng-geleng kepalanya.
            “Ayah rasa macam pagi rayalah pulak,” perli Lutfi, mengusik anak daranya yang seorang itu.
            “Mentang-mentanglah Defi balik setahun sekali...” Defi menarik muncung panjang. Maya tersenyum melihat kemesraan Defi dengan kedua-dua orang tuanya. Pun begitu, senyumannya mengendur apabila seorang wanita yang sudah lanjut usianya, berkerusi roda, muncul dari belakang Lutfi. Rambutnya yang beruban putih sepenuhnya, masih basah. Berkemban dengan kain batik dan bahagian dadanya dilitupi dengan tuala putih. Barangkali baru habis mandi. Wanita itu memandang tajam ke arah mereka berempat. Maya, Laila, Rafidah dan Suraya menelan air liur. Pandangan wanita tua itu sedikit sebanyak membuatkan mereka tidak senang duduk.
            “Nek... ini kawan-kawan Defi, nek...” Defi mencium kedua-dua belah pipi Nek Sirih. Nek Sirih yang sudah 80 tahun usianya.
            “Kenapa kau bawak balik mereka? Itu yang pakai baju merah tu! Bawak celaka tu! Setan suka mengikut tu!” seranah Nek Sirih dengan jari telunjuknya menuding tepat ke arah Maya. Maya terkaku di situ. Lekas-lekas dia menunduk ke bawah. Tidak berani bertentang mata dengan wanita tua itu yang melihatnya seperti mahu menelan hidup-hidup.
            “Nek...nek cakap apa ni?” Defi serba-salah. Walaupun dia sudah memaklumkan kepada Maya dan kawan-kawannya yang lain tentang keadaan kesihatan neneknya itu tetapi dia tetap berasa ralat. Yalah, baru sampai sudah disembur Nek Sirih. Kasihan Maya.
            “Maaflah, mak mak cik ni kurang sihat sikit. Jangan ambil hati ya,” Hanum melukis garis senyum di wajah. Lekas-lekas dia menolak kerusi roda yang dinaiki Nek Sirih masuk ke dalam bilik semula. Lutfi tidak mengulas apa-apa kerana azan Subuh sudah berkumandang lunak di udara. Lelaki itu meminta diri terlebih dulu untuk ke surau.
            “Kau jangan terasa tau dengan apa yang nenek aku cakap tadi,” Defi memujuk. Maya tersenyum tenang. Dia tidak ambil hati pun. Cuma sedikit gerun saja melihat tampang bengis Nek Sirih sebaik memandangnya.
            “Aku okeylah. Kau kan dah beritahu aku yang nenek kau tu kurang sihat,” Defi menarik nafas lega mendengar jawapan Maya. Mujurlah Maya tidak terkesan di hati dengan seranah Nek Sirih baru sekejap tadi.
            “Okeylah, mari aku bawak korang semua masuk bilik tamu. Disebabkan rumah ni besar dan ada dua bilik yang masih kosong, korang boleh pair dalam satu bilik,” Defi mendahului yang lain, mengepalai ke bilik yang dimaksudkan. Laila dan Rafidah sudah sepakat untuk sebilik. Ini bermakna, Maya dan Suraya pula di bilik tamu yang satu lagi. Defi meninggalkan kawan-kawannya untuk mengemas apa yang patut di dalam bilik masing-masing. Sebelum itu, sempat Defi menunjukkan arah kiblat di dalam bilik itu supaya mudah kawan-kawannya hendak mendirikan solat.
            “Aku tak boleh solat...” jawab Suraya perlahan apabila Maya mengajaknya untuk pergi mengambil wuduk sama-sama. Maya yang sudah berada di muka pintu bilik, kembali duduk di sebelah Suraya yang masih pucat wajahnya.
            “Dalam keadaan kau tak bersih macam ni, ada baiknya kau banyakkan berzikir sebagai ganti Su...” saran Maya. Suraya dilihatnya, seperti sudah melayang semangatnya. Barangkali lantaran kejadian tadi. Diingat-ingat kembali, boleh naik meremang bulu roma. Terngiang-ngiang lagi bunyi gamelan sayup-sayup di telinga. Maya membaca surah Kursi dalam hati, mahu menghindar segala macam bayangan bukan-bukan yang melegari di benaknya.
            “Apa yang sebenarnya dah jadi dengan aku tadi, Maya?” Suraya memaculkan pertanyaan. Sebolehnya Maya tidak mahu menjawab soalan kawannya itu. Seram sejuk apabila mengingatkannya semula.
            “Kau betul tak ingat?” tanya Maya lalu disambut anggukan kepala Suraya. Hendak tidak hendak, terpaksalah dia menerangkan apa yang telah berlaku.
            “Sedar-sedar, badan aku rasa lemah sangat-sangat...” luah Suraya, melirih nadanya.
            “Kami rasa... kau keteguran,”
            “Keteguran?” Maya mengangguk perlahan.
            “Sebelum tu, kami terdengar satu bunyi aneh. Bunyi muzik gamelan... entah dari mana. Dan tiba-tiba kau pulak seperti dirasuk sesuatu. Kau menari...”
            “Aku menari?” Maya mengangguk untuk kesekian kali. Suraya membungkam. Otaknya ligat berfikir tetapi fikir rasanya tepu. Sungguh, dia tidak ingat apa-apa.
            “Tak perlulah kita bercakapkan tentang hal ni lagi. Kau berehatlah. Aku nak ambil wuduk dulu,” Maya mencantas keraguan yang bertunas dalam kepala Suraya. Sebenarnya, Maya tidak mahu membangkitkan isu itu lagi. Setiap kali teringatkan kejadian aneh yang menimpa mereka sekawan beberapa jam tadi, automatik bulu romanya merinding satu badan.
            “Kejap, Maya!” laung Suraya tiba-tiba.
            “Kenapa, Su?”
            “Walaupun aku samar-samar dengan apa yang berlaku kat aku tapi... aku ingat satu perkara!”
            Suraya terdiam untuk beberapa ketika. Maya berdebar-debar tidak semena-mena. Apa lagi, Suraya? Mendesah Maya di dalam hati.
            “Perempuan... perempuan tu suruh aku larang korang ke sini!” Suraya yakin. Ada suara perempuan berbisik di cuping telinganya yang memaksa dia supaya tidak meneruskan perjalanan ke bumi Kelantan ini.
            “Kita dah sampai pun. Sudahlah... tak perlu kau ingat lagi,” Maya memberi kata putus. Langkah kakinya segera dihayun keluar dari bilik itu. Manakala Suraya terus-terusan termangu di situ.

Petang itu hujan turun lebat mencurah-curah. Seolah-olah alam turut bersubahat sama menggagalkan perancangan Maya dan lain-lain hendak bermain ombak di pantai. Maya memujuk hati. Tidak apalah. Lagipun hari ini baru masuk hari kedua dia di sini. Masih berbaki banyak hari lagi untuk dia bermandi air laut sepuas-puasnya. Entahlah, dia sendiri sebenarnya tidak tahu kenapa dia begitu teruja sekali hendak ke pantai. Bagaikan semangatnya diseru-seru untuk ke sana. Termenung Maya duduk di kaki tangga, menghirup bau hujan yang menyegarkan.
            “Aku tak suka kau ada dalam rumah aku ni, tahu?” melengking satu suara dari belakang membuatkan Maya yang terlarut dalam khayal, tersentak sedar. Tampang garang Nek Sirih sudah berada di belakangnya. Maya tertelan air liur. Dalam pada itu, dia cuba memberanikan diri untuk bersuara. Dia teringin sangat hendak mengetahui sebab musabab wanita tua itu begitu tidak menyenangi kehadirannya di rumah tersebut.
            “Ta...tapi kenapa nek? Saya ada buat benda yang nenek tak suka ke?” Tenggelam timbul suara Maya. Takut-takut dia bertanya.
            “Kau bawak tulah dalam kampung ni! Disebabkan kau, satu kampung ni akan ditimpa musibah! Balik ke tempat asal kau semula! Jauhkan diri kau dari pantai! Pergi! Pergi!!!” Nek Sirih menjerit nyaring. Hanum yang sedang menyiapkan makanan petang di dapur, terburu-buru keluar. Apa lagilah yang tidak kena dengan emaknya itu? Sedari semalam, asyik Maya disumpah seranahnya. Kasihan Hanum dengan kawan anaknya itu. Tidak pasal-pasal ditempik-tempik begitu.
            “Mak... kenapa jerit-jerit ni? Maya, maafkan mak cik ya. Ada baiknya Maya ke dapur, kawan-kawan pun tengah makan sekali tu. Hidangan petang, mak cik sudah siapkan,” Maya mengangguk akur. Bersegera dia angkat kaki. Gerun dia melihat cara Nek Sirih merenungnya. Sebaik berselisih, tiba-tiba saja tangannya direntap kudrat wanita tua itu. Mahu luruh jantung Maya pada ketika itu dibuatnya.
            “Jangan sekali-kali kau jejakkan kaki ke pantai. Ingat tu!” Nek Sirih memberi amaran keras sebelum melepaskan genggamannya tidak lama kemudian. Kelam kabut Maya menghayun langkah ke dapur. Turun naik nafasnya. Defi yang melihat wajah pucat lesi Maya, sudah dapat mengagak. Tentu nenek mengancam kawannya itu lagi. Nek Sirih memang aneh-aneh perangainya sejak kebelakangan ini. Barangkali penyakit nyanyuknya yang semakin menjadi-jadi.
            “Nenek aku marah kau lagi eh?” Maya mendiamkan diri. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak.
            “Dia suruh aku balik KL semula,” jawab Maya perlahan.
            “He...he...he... Kau janganlah ambil hati. Nenek aku tu memang camtu. Lagi-lagi rumah ni jarang-jarang ada tetamu. Dia tak dapat sesuaikan diri kut,” Defi mencipta alasan. Hakikatnya, dia sendiri pelik kerana neneknya itu hanya tidak menyenangi keberadaan Maya di rumah itu tetapi bukan kawan-kawannya yang lain. Laila, Rafidah dan Suraya tidak pula dicemuh-cemuh wanita itu. Maya seorang saja yang dicurigainya. Tidak tahu atas sebab apa.
            Defi menuangkan kopi panas ke cawan kosong lalu diunjukkan kepada Maya. Laila dan Rafidah pula sedang asyik menikmati hidangan petang air tangan Hanum dan Defi. Pulut dimakan dengan kelapa yang diletak sedikit garam dan ikan rebus goreng. Suraya pun menjamah sekali meski tidak selaju Laila dan Rafidah menyuap makanan ke dalam mulut.
            “Nenek kau larang keras aku pergi ke pantai. Macam dia tahu saja tujuan aku ke sini pun sebab utamanya mahu mandi air laut,”
            “Nenek aku tu pernah kehilangan orang tersayang, lemas di laut...itu yang dia trauma seumur hidup,” Defi membuka cerita. Suraya terberhenti kunyah, tertarik dengan cerita yang keluar dari mulut Defi. Maya berubah riak mukanya. Patutlah, ada cerita di sebalik cerita rupa-rupanya. Tetapi apa pula kaitannya aku dengan sejarah hidup wanita tua itu? Hisy! Pelik betullah.
            “Lemas di laut? Maksud kau, meninggal dunia ditelan laut?”
            “Logiknya begitulah. Atuk aku dulu nelayan. Suatu hari tu, dia tak balik-balik tapi yang peliknya, perahu atuk aku tu selamat berlabuh di pantai. Cuma atuk aku saja yang tak dijumpai. Menurut cerita ibu aku, berminggu-minggu jugaklah penduduk kampung cari atuk aku sampai polis marin pun terlibat sekali dalam gerakan mencari tu,”
            “Apa kesudahannya?” tanya Maya tidak sabar.
            “Tak jumpa pun. Kalau hendak kata atuk aku tu lemas, tidak pula jasadnya ditemui terapung di mana-mana. Tambahan lagi, perahunya selamat mendarat. Itu yang menjadi tanda tanya satu kampung,”
            “Maknanya, atuk kau ghaib macam tu aje?” Suraya pula mencelah. Defi mengangkat bahu.
            “Wallahualam. Dari apa yang ibu aku ceritakan, aku simpulkan yang atuk aku tu mati lemas. Yelah, hendak penjelasan logik apa lagi kan? Mana mungkin hilang macam tu aje? Tidak masuk akallah pulak,” Defi membuat kesimpulan. Maya dan Suraya terdiam. Tiada hujah mahupun usul yang mahu diutarakan.
            “Oh ye, Su! Ayah aku ada buatkan air Yasin untuk kau. Kau minumlah untuk pulihkan semangat. Malam semalam kan kau...”
            “Shhh... tak mahu sebut-sebut lagilah perkara tu,” Maya menegah. Dia dan Suraya saling memandang antara satu sama lain. Defi tidak jadi melanjutkan bicara. Dia juga tidak mahu bercakap lanjut tentang kejadian itu lagi. Seriaunya tidak hilang lagi.
            “Alhamdulilah...kenyang...” Rafidah yang kuat makan itu bersendawa lepas. Buruk laku sungguh. Serta-merta perhatian semua orang tertumpu ke arah Rafidah yang entahkan dengar entahkan tidak perbualan Defi, Maya dan Suraya sekejap tadi. Makan saja perempuan itu tahu.
            “Boleh gemuk kami kalau lama-lama kat sini. Makan tidur makan tidur ajelah jawabnya. He...he...he...” Laila mencelah.
            “Itulah. Malam tadi tidur punyalah selesa. Lagi-lagi rumah kau dekat dengan laut, syok aje tidur. Nyaman angin pantai bertiup. Kucing peliharaan kau pun siap melingkar tidur dengan kami sekali tau,” Rafidah menzahirkan rasa gembiranya. Defi tersenyum senang. Gembira kawan-kawannya, gembira jugalah hatinya. Tetapi beberapa ketika kemudian, keningnya berkerut hairan.
            “Apa kau cakap tadi? Kucing?”
            “Haah. Kucing bulu hitam kaki putih tu. Manja betul kucing kau tu!” Defi berjeda lama. Maya mengesan sesuatu yang tidak kena pada air muka kawannya itu.
            “Rumah ni mana ada bela kucing, Rafidah. Nenek aku tu pantang ada kucing, dihambatnya keluar. Lagi-lagi nenek aku ada asma. Jiran-jiran kat sini pun tak ada yang bela kucing. Korang biar betul?” sungguh-sungguh Defi mengesahkannya.
            “Tapi...” Laila dan Rafidah menelan air liur serentak. Mereka nampak sendiri kucing hitam itu bebas keluar masuk di dalam rumah itu. Dan sekejap-sekejap menggesel-gesel di kaki mereka berdua sebaik saja mereka masuk ke dalam rumah itu. Kalau bukan kucing, benda apa pula yang berdamping dengan mereka malam tadi? Laila dan Rafidah sudah seram sejuk. Batang tengkuk masing-masing sudah mengembang lain macam. Ah, sudah!




Bab 4
            Kampung Tenung Bulan pada pagi itu gempar apabila sebahagian besar penduduknya yang bergantung rezeki pada hasil tangkapan laut, terkejut apabila mendapati permukaan pantai dipenuhi dengan bangkai-bangkai ikan yang sudah membusuk dan berulat, terkatung-katung dihurung lalat. Masing-masing menutup hidung lantaran tidak tahan dengan bau yang datang dari timbunan bangkai itu. Segelintir kecil kaum ibu yang turut berada di pesisir pantai itu, geli-geleman dan kembang tekak dibuatnya. Ada juga yang termuntah-muntah. Kalau bangkai ikan itu masih elok keadaannya, bolehlah dimakan lagi. Tetapi ini tidak. Semuanya berengga dan kelihatan jelas cacing-cacing halus merayap-rayap keluar dari badan ikan-ikan yang berapungan itu.
            Penduduk kampung yang rata-ratanya terdiri daripada nelayan kecil, bersepakat hendak bertemu dengan ketua kampung itu bagi melaporkan apa yang telah berlaku. Inilah kali pertama kejadian aneh sebegini terjadi di kampung mereka. Sebelum ini, baik-baik saja. Tidakkah pelik namanya? Dalam pada keriuhan orang kampung sibuk bercakap tentang keganjilan yang melanda, Ambarningsih yang memasang telinga sedari tadi, mulai merancang sesuatu di dalam kepalanya. Terkocoh-kocoh dia menghayun langkah menghalang perjalanan sekumpulan penduduk kampung itu.
            “Kalian mahu ke mana?” Ambarningsih bertanya hendak tahu.
            “Kami mahu ke rumah tok ketua!” jawab salah seorang daripada mereka.
            “Apa yang orang tua tu boleh buat? Paling-paling dia suruh kalian bersabar dan berdoa. Tidakkah itu semua buang masa?” sinis sekali Ambarningsih mempertikaikan kewibawaan penghulu Kampung Tenung Bulan itu.
            “Jadi, apa yang kami perlu buat sekarang?” tanya penduduk kampung yang lain pula. Ambarningsih tersenyum penuh makna. Peluang sebeginilah yang mahu dimanfaatkan sepenuhnya. Kepercayaan orang kampung terhadapnya dalam merungkai perkara-perkara mistik begini sudah tentu memberi kelebihan kepada dirinya berbanding Tok Bariman. Tok Bariman yang suka menyusahkan hidupnya. Tok Bariman yang seringkali menabur pasir dalam periuk nasinya. Dia tidak menyukai lelaki tua itu sama sekali.
            “Beginilah, kalau kalian mahu kampung kita kembali seperti dulu, dengarlah kata-kataku ini,” Ambarningsih mulai meracun fikiran sekumpulan penduduk kampung yang terdesak mahukan jaminan. Jaminan keselamatan dan sumber pencarian.
            “Selama ini, bertahun-tahun lamanya, kampung kita aman sentosa kerana adanya penjaga yang melindungi kita semua. Dialah yang menjaga keselamatan kalian berlayar lepas di lautan. Melimpahkan rezeki dan kekayaan. Dan sekarang, sudah tiba masanya untuk setiap daripada kita membalas budinya semula,” usul Ambarningsih bersungguh-sungguh. Berhujah dengan doktrin kesesatannya.
            “Bagaimana?” soal seorang lelaki yang berdiri paling hadapan di dalam kumpulan itu. Ambarningsih senyum meleret.
            “Korban darah anak dara sunti,”
            Terbeliak mata penduduk kampung sebaik mendengar hujah perempuan itu. Masing-masing mulai berbisik sesama sendiri. Sebelum ini, darah binatang-binatang peliharaan mereka yang menjadi taruhan korban, sekarang darah manusia pula. Kedengaran tidak masuk akal sama sekali. Rata-rata menggelengkan kepala tanda tidak bersetuju. Kalau sudah melibatkan nyawa manusia tidak berdosa, ini bukan perkara main-main. Seorang demi seorang meninggalkan Ambarningsih melainkan Lanang yang masih tegak berdiri di situ. Lanang yang memendam satu perasaan istimewa terhadap Ambarningsih dalam diam. Lanang yang mendambakan cinta daripada perempuan yang digeruni untuk didekati oleh mana-mana lelaki di Kampung Tenung Bulan itu.
            “Aku percayakan kau, Ningsih. Selama ini pun, kaulah yang menjadi perantara. Kau jugalah yang memastikan kampung ini aman dan sentosa. Sebut saja pertolongan apa yang kau perlukan daripada aku. Aku akan lakukannya!” Lanang penuh semangat menghulurkan bantuan. Ambarningsih tahu akan serampang dua mata tujuan lelaki itu. Dia diamkan saja. Mana mungkin dia menolak tawaran yang datang bergolek. Ya, lelaki itu boleh dijadikan kambing hitamnya. Ambarningsih menyeringai.
            “Sungguh kau mahu tolong aku?” Lanang tersenyum dan mengangguk laju.
            “Apa saja untuk kau, Ningsih...”
            “Bagus! Lelaki sejati beginilah yang aku mahu. Sanggup berkorban untuk kampung kita,” puji Ambarningsih, melumur madu di hujung lidah. Lanang senyum kulum. Kembang hati lelakinya. 
            Ambarningsih mengajak Lanang ke satu tempat. Lelaki itu menurut saja dari belakang. Inilah kali pertama dia berdua-duaan dengan perempuan yang dipujanya dalam diam itu. Ambarningsih memang cantik pada pandangan matanya. Beralis tebal, bermata galak dan tajam dan memiliki segaris senyuman yang mampu menggegar jiwa. Cuma perempuan itu cukup payah untuk didekati. Ambarningsih tidak seperti gadis-gadis lain di kampung itu yang menggeletis malu apabila dipikat oleh kaum lelaki. Ambarningsih, karakternya ampuh. Dan kelainan itulah yang membuatkan hati Lanang tertambat suka.
            Mereka berjalan jauh ke dalam hutan sehinggalah kedua-duanya sampai ke sebuah pondok kayu yang menjadi tempat Ambarningsih dan kuncu-kuncunya mempraktikkan ilmu hitam mereka. Sebuah kawasan yang tersorok ke dalam dan tidak mungkin diketahui oleh siapa-siapa. Lanang memerhatikan keadaan sekeliling. Ada sedikit rasa gentar dalam dirinya. Pondok kayu itu tidak ubah seperti tempat pemujaan yang dipenuhi dengan tengkorak binatang tergantung di sana sini. Lanang menelan air liur.
            “Kau takut ya?” sinis Ambarningsih bertanya. Perempuan itu mengerising.
            “Err...tidak... cuma aku kurang selesa berada di sini,” jawab Lanang menutup kelemahan diri.
            Ambarningsih menjemput lelaki itu masuk ke dalam pondok kayunya. Sedikit teragak-agak Lanang hendak mengatur langkah. Jantungnya berdegup laju. Meski hari masih siang dan matahari terpacak di atas kepala, tetapi lantaran cahayanya yang hanya samar-samar menembusi lantai tanah, terasa persekitaran seakan-akan sudah menjelang lewat petang. Lanang duduk bersila beralaskan tikar mengkuang lusuh yang terhampar di ruang sekangkang kera pondok itu. Ambarningsih hilang entah ke mana untuk beberapa ketika sebelum muncul dengan menatang secawan air lalu diunjukkan kepada lelaki itu.
            “Sebagai tuan rumah, perlulah aku meraikan tetamu. Jemputlah minum. Tidak usah kau risau, bukan racun yang ku hidangkan,” Ambarningsih sudah duduk bersimpuh di sebelah Lanang. Bergerak-gerak halkum lelaki itu, atas ke bawah dek was-was hendak meneguk minuman air tangan yang dijamu kepadanya. Baunya saja sudah memualkan tekak, masakan dia hendak menelannya?
            “Air apa ni?” lurus Lanang bertanya. Bodoh pun iya juga. Ambarningsih tergelak kecil. Jari telunjuknya merayap ke dada bidang lelaki itu. Diusap-usap, berpusar-pusar sampai ke perut lelaki itu. Dielus-elus penuh kelembutan hingga ke pangkal peha. Lanang mulai tidak tentu arah. Sentuhan berahi itu nyata sekali mengasyikkan.
            “Minum sajalah. Susah-susah aku buatkan istimewa untuk kau, tahu?” manja sekali Ambarningsih melantun nada dengan lirikan mata mempesona. Lanang meremang bulu romanya. Bukan ketakutan tetapi dilanda satu rasa sensual yang menggila. Syahwatnya mencanak naik!
            “Err...baiklah. Demi kau, aku minum sekarang juga!” Lanang menelan sekali harung. Licin. Tidak tertinggal setitik pun. Ambarningsih tersenyum kemenangan. Mudah saja dia menundukkan lelaki itu. Baru usik sedikit, sudah tidak keruan dibuatnya. Dasar jantan! Seranah Ambarningsih dalam hati. Benci. Pun begitu, tidaklah dizahirkan pada riak mukanya. Ambarningsih terus bijak memainkan peranan. Lanang digoda sehingga lelaki itu seperti orang dungu tidak berotak saja lagaknya.
            “Kau suka aku, Lanang?” bisik Ambarningsih di cuping telinga Lanang.
            “Sss...suka...” Lanang malu-malu mengiyakannya.
            “Suka saja? Tidak lebih dari itu?” melirih suara Ambarningsih kononnya merajuk. Lanang kelam kabut tiba-tiba. Dia bimbang kalau-kalau perempuan pujaannya itu terkecil hati.
            “Maksud aku... aku kasmaran sama kau, Ningsih!”
            “Ah, lelaki! Molek-molek saja ucapnya sekadar mahu mengambil hati,”
            “Sungguh, Ningsih...aku tidak berdusta! Sejak dari dulu aku meminati kau dari jauh. Dan rasa itu semakin hari semakin hidup dalam jiwa,” Lanang memberanikan diri untuk meluahkan rasa. Ambarningsih menjeling manja. Jerat sudah mengena. Kambing hitam sudah masuk perangkap.Ambarningsih membelai-belai rambut Lanang hinggakan terpejam-pejam mata lelaki itu dek larut keasyikan. Lelaki itu akan diperalat sehabis baik untuk kepentingannya.
            “Sejak dulu tu, sejak bila? Aku tak percaya. Kenapa baru sekarang kau mengungkapkannya?”
            “Kerana... aku tidak punya keberanian untuk berterus-terang sebelum ini. Percayalah Ningsih. Aku menyukai kau lebih lama daripada kau menyedari kewujudan aku di kampung ini,” Lanang menggenggam erat tangan Ambarningsih bagi membuktikan kesungguhan kata-katanya. Ambarningsih menahan sabar dengan tindakan tidak terduga Lanang. Mahu saja dia menghancurkan muka lelaki itu pada ketika itu juga. Tetapi kalau dia berbuat demikian, bersepailah rancangan yang diaturnya penuh rapi itu.
            “Baiklah, aku percayakan kau. Tapi, kau perlulah membuktikannya. Kau sanggup?” Lanang mencium-cium tangan Ambarningsih dan mengangguk laju. Ambarningsih mengekeh ketawa. Nampaknya, Lanang begitu senang sekali tunduk di bawah telapak kakinya. Ambarningsih bangkit. Cawan kosong berisi air jampi itu ditatangnya. Lanang hendak mengikut dari belakang tetapi dengan tiba-tiba saja kepalanya terasa berat menyebabkan dia terduduk semula. Pandangannya juga berbinar-binar. Seolah-olah dia terawang-awang tidak menjejak bumi.
            Lama-kelamaan, di matanya cuma terlihat wajah cantik Ambarningsih. Dan gegendang telinganya pula hanya mendengar suara lunak Ambarningsih. Lelaki itu hakikatnya sudah terkena pukau.
            “Ningsih... Ningsih... kau ke mana, sayangku?” seru Lanang berkali-kali memanggil Ambarningsih. Lanang sudah di luar akal sedarnya. Nyata sekali ramuan minuman jampi air tangan perempuan itu berjaya menguasai setiap indera rasa lelaki tersebut. Lanang kepanasan. Syahwatnya bagai tidak boleh dikawal lagi. Dia merentap baju yang tersarung pada tubuh dan melurutkan seluar yang dipakainya. Lelaki itu hanya tinggal bercawat. Ambarningsih berdekah-dekah ketawa.
            “Lebih payah mahu menangkap seekor ayam daripada menundukkan kau, Lanang! Ha! Ha! Ha!”
            Ambarningsih melaung memanggil dua orang suruhannya yang bersembunyi di luar pondok kayu itu untuk segera masuk ke dalam. Menerpa kedua-duanya menghadap Ambarningsih, menunggu arahan yang akan diberikan.
            “Kau pasungkan kaki dia. Malam ini kita mulakan upacara!” perintah Ambarningsih begitu keras nadanya. Akur dua orang suruhan perempuan itu tanpa banyak bicara. Lanang dibaringkan, kedua-dua belah kakinya dipasung menggunakan sebatang kayu besar yang berlubang dua. Lanang yang sudah serupa orang mereng itu, sekejap-sekejap tersenyum, sekejap-sekejap menyebut-nyebut nama Ambarningsih, merelakan saja tubuhnya diperlakukan sebegitu. Tangan kanan dan kirinya turut diikat.
            “Perhatikan dia baik-baik. Kalau aku tahu dia terlepas, kepala kau berdua aku penggal! Ingat tu!” Ambarningsih memberi amaran. Perempuan itu kemudiannya keluar dari pondok kayu itu meninggalkan Lanang yang sudah terpasung pergerakannya.

Ambarwati hanya mampu memerhati dengan pandangan simpati. Tingkah Ambarsari hari demi hari semakin merunsingkan fikirannya. Hendak mengharap Ambarningsih yang sulung, menolong pun tidak mahu. Bahkan katanya, Ambarsari mewarisi penyakit gila daripada kakek moyang mereka. Bawalah pergi berubat ke mana sekalipun, mustahil untuk sembuh. Sedih Ambarwati menelan kata-kata Ambarningsih yang langsung tidak kedengaran punya secubit belas kasihan. Sementelah, mereka cuma tinggal tiga beradik saja di dunia ini. Kedua-dua orang tua sudah lama meninggal dunia. Meski dirinya yang paling bongsu, sedayanya Ambarwati berikhtiar merawat kakaknya itu dengan pelbagai cara.
            “Sari, jangan dimakan bunga itu!” menjerit Ambarwati apabila melihat Ambarsari yang sedang seronok memetik bunga raya, mahu memasukkan bunga itu ke dalam mulutnya.
            “Cantik kelopaknya berwarna merah! Tentu rasanya sedap juga, bukan? Bolehlah Wati...aku lapar,”
            “Tak boleh. Kalau lapar, sudah aku sediakan makanan di dapur. Bunga raya bukan untuk dimakan tetapi untuk perhiasan kepala. Mari aku sematkan pada sanggul rambut kau. Ha, kan cantik!” Ambarwati terpaksa melayan kerenah kakaknya itu yang tidak ubah seperti seorang kanak-kanak lagak fikirnya.
            “Iyalah! Cantik! Terima kasih, Wati. Kau memang adik yang baik,” puji Ambarsari yang begitu menyenangi kehadiran Ambarwati  di sisinya. Ambarsari menyanyi-nyanyi riang sambil berlari-lari anak, mengelilingi halaman rumah itu. Rumah peninggalan orang tua mereka yang terletak di atas bukit itu memang penuh dengan bunga-bungaan di sekelilingnya. Ambarwati menjaga pokok-pokok bunga itu dengan baik sekali. Baja tahi haiwan diberi cukup, disiram air saban pagi dan petang.
            Pun begitu, kegembiraan Ambarsari sirna dek kepulangan Ambarningsih yang merenungnya dengan pandangan tajam. Ada sekilas kebencian pada sepasang mata itu. Berlari Ambarsari mendapatkan Ambarwati dan menyorok di belakang tubuh adiknya itu. Ambarwati melempar senyum ke arah kakak sulungnya itu tetapi dibalas dengan jelingan meluat.
            “Kau dari mana, Ningsih?” lembut Ambarwati bertanya, sekadar mahu memulakan perbualan. Dia tahu Ambarningsih jarang-jarang sekali mahu bercakap dengannya. Ada tidak ada pun, pantang berhujah, nescaya akan berbalah.
            “Tak perlu kau tahu! Perempuan gila tu jangan kau manjakan sangat! Pasung saja kakinya tu supaya tak boleh bergerak ke mana-mana!” Ambarningsih tidak sedikitpun berasa bersalah dengan ucapnya itu. Dia lebih senang kalau Ambarsari mati. Hidup pun bukan menguntungkan! Menyusahkan lagi ada!
            “Sari kurang sihat, mbakyu. Bukan gila,” Ambarningsih mendengus. Ah, si Wati ini memang suka mempertahankan Sari! Tidak lama dulu, rumah peninggalan mereka tiga beradik ini pun nyaris-nyaris terbakar dek perbuatan Ambarsari yang tolol itu. Tetapi Ambarwati tetap tidak mahu menyalahkan Ambarsari kerana menurutnya, Ambarsari tidak sengaja. Kebakaran kecil yang bermula dari permainan masak-masak di bawah rumah. Seronok Ambarsari bermain api, hingga tidak sedar akan hakikat kecil api menjadi kawan, besar ia menjadi lawan.
            “Balik-balik dengan alasan kurang sihat kau tu! Kau sendiri sudah bawa dia berubat sampai ke kampung jiran, tetapi apa hasilnya? Makin senteng akal aku tengok!” tempelak Ambarningsih selamba.
            “InsyaALLAH, suatu hari nanti Sari akan sembuh juga. Aku percaya dengan kun fayakun TUHAN,” jawab Ambarwati tenang, memujuk kesabaran di dalam hati. Ambarningsih menayang riak menyampah pada wajah. Dia menghayun langkah masuk ke dalam rumah, malas mahu bertegang urat dengan adik bongsunya itu yang ada saja hujah balasnya.
            “Perempuan tu dah masuk ke dalam?” bisik Ambarsari takut-takut di cuping telinga Ambarwati.
            “Iya. Kenapa, Sari takut ya dengan Ningsih?” tanya Ambarwati, sengaja mahu menduga. Ambarsari mengemamkan bibir. Kalau dulu, diperhatikan Ambarsari masih boleh menatap wajah Ambarningsih tetapi sejak kebelakangan ini, hendak bertentang mata pun perempuan itu tidak berani. Entah apalah yang ditakutkan?
            “Ningsih membela...” hampir tidak dengar suara Ambarsari membisik.
            “Maksud Sari?”
            “Perempuan itu membela cindaku! Aku nampak dengan mata kepala aku sendiri!” bersungguh-sungguh Ambarsari memberitahu. Tersentak Ambarwati mendengarnya. Bolehkah dia percaya dengan kata-kata Ambarsari yang entahkan betul entahkan tidak itu?
            “Kau fikir aku mengada-ngadakan cerita?” Ambarsari menekan suaranya.
            “Bukan begitu... tapi...” Ambarwati tergaru-garu kepala. Mati akal dibuatnya. Hendak ditelan termengkelan, hendak diluah tiada keluar.
            “Mari ikut aku!” Ambarsari merentap pergelangan tangan adiknya itu lalu membawa Ambarwati ke bangsal kambing di belakang rumah. Kambing-kambing peliharaan Ambarningsih yang makin hari makin menyusut bilangannya. Menurut Ambarningsih apabila ditanya ke mana perginya kambing-kambing itu, alasannya sudah dijual kepada orang. Hakikatnya, kambing-kambing itulah dijadikan korban saban kali upacara menyemah pantai dijalankan.
            “Kau lihat sini!” Ambarwati terpaksa duduk bertinggung sekali apabila kakaknya itu sudah mencangkung, mengutip sesuatu di permukaan tanah. Ambarwati memerhati saja tingkah aneh Ambarsari yang galak mengaut bertih padi yang digoreng, bertaburan di sana sini.
            “Benda inilah yang dijamunya malam tadi! Kau masih tak percayakan aku lagi?” Ambarwati benar-benar keliru. Ada kalanya bercakap dengan Ambarsari, seperti perempuan itu sihat walafiat akal fikirnya. Bisik-bisik dua beradik itu terberhenti apabila cuping telinga masing-masing menangkap bunyi tapak kaki seseorang, mungkin lebih, sedang berjalan menuju ke arah tempat mereka berdua. Lekas Ambarwati menarik tangan Ambarsari, menyembunyikan diri.
            “Kalau tidak berjaya rancangan kita malam ini, esok malam, kau teruskan dengan rancangan asal!”
            “Kau pasti, Ningsih?”
            “Tentu sekali! Kau culik Ambarsari!”
            Terbeliak mata Ambarwati mendengar perintah kakak sulungnya itu. Apa agenda perempuan itu yang sebenarnya? Sementara Ambarsari yang sekejap waras, sekejap bodoh alang itu, mahu menyahut sebaik mendengar namanya diseru. Cepat-cepat Ambarwati menutup rapat-rapat mulut kakaknya itu dengan telapak tangan. Nahas kalau Ambarningsih tahu mereka mencuri dengar!

           
                       



Bab 5
            Defi tergelak-gelak melihat tingkah kawan-kawan baiknya, terutama sekali Laila dan Rafidah yang sanggup berhimpit-himpit dalam bilik tetamu yang kecil itu. Saling tolak-menolak, mahu berebut kawasan untuk tidur. Kasihan Laila kerana terpaksa mengalah disebabkan Rafidah yang berbadan besar itu dengan mudah, menolak batang tubuhnya ke tepi. Kurang asam punya kawan! Getus hati Laila yang terpaksa tidur di sebelah Suraya. Sebenarnya, Laila masih takut-takut mahu tidur bersebelahan Suraya. Seram semacam saja dia rasa!
            “Penat-penat aku sediakan bilik untuk korang berdua, bilik Maya dengan Su jugak korang sibuk nak menyemak kan? Ha! Ha! Ha!” Defi menggeleng-gelengkan kepala. Macam-macam perangai kawan-kawannya itu.
            “Kitaorang traumalah nak tidur bilik tu. Nanti peluk benda lain pulak,” Rafidah memanjangkan tangan, menampar mulut Laila yang celupar itu. Jangan disebut-sebut lagi peristiwa malam semalam, meremang bulu roma satu badan kalau diingat-ingat balik.
            “Sakitlah ngok!” marah Laila, mengusap-usap mukanya.
            “Padanlah muka! Mulut kau tu tak payah nak cabul sangat malam-malam macam ni,”
            “Eh, suka hati akulah! Mulut aku! Kau takut sebab kau yang paling beria-ia peluk kucing hitam tu malam semalam kan? Macam tak pernah jumpa kucing!”
            “Eee! Sabar ajelah aku ada kawan mulut tak ada insurans ni!” Rafidah mencapai bantal di sisinya lalu membaling ke arah Laila. Terjelir-jelir lidah Laila mengejek apabila berjaya mengelak bantal yang dibaling itu. Bertambah sakit hati Rafidah menengoknya.
            “Hisy, korang berdua ni! Macam budak-budaklah!” Maya bersuara. Selalunya, dialah yang menjadi orang tengah meleraikan perbalahan kawan-kawan baiknya itu. “Korang main baling-baling bantal lagi, aku pindah bilik nanti. Biar aku dengan Su, tidur dalam bilik lagi satu. Korang tidur berdua kat sini,” ugut Maya.
            “Eh, jangan! Sama ajelah kalau macam tu, Maya. Lebih baik kita tidur berjemaah macam ni!” larang Rafidah, sungguh-sungguh nadanya. Dia tidak kisah bersesak tidur begini, sekurang-kurangnya dia rasa lebih selamat. Maya layankan saja. Malas hendak bertekak.
            “Defi, kau tidur mana?” tanya Suraya tiba-tiba.
            “Aku tidur dalam bilik nenek akulah. Tapi waktu-waktu macam ni, biasanya aku biarkan dia lelap terlebih dulu. Kalau tak, pantang nampak muka aku, dia ajak bersembang,” terang Defi dan disambut anggukan kepala masing-masing.
            “Ha, elok sangatlah tu. Lagipun, awal lagi kut nak masuk tidur. Baru pukul sebelas,” celah Laila yang masih segar-bugar matanya. Kehidupan di kampung, pukul 9.00 malam sudah sunyi sepi seperti tengah malam. Hanya bunyi debur ombak memukul pantai saja yang kedengaran.
            “Kau ceritalah, Defi... kitaorang jadi pendengar eh. Kira bedtime story gitu. He! He! He!” cadang Rafidah sambil ketawa-ketawa. Bergegar lemak-lemak mampat pada tubuhnya.
            “Okey...tapi cerita ni kisah benar tau. Berlaku kat kampung ni jugak,” Defi sudah duduk bersila, bersedia hendak memulakan ceritanya.
            “Eh, kejap-kejap! Kau jangan nak cerita yang bukan-bukan pulak malam-malam ni Defi!”
            “Hisy, dengarlah dulu. Aku bagi hint dia dulu. Kucing!”
            Melompat Laila memeluk Rafidah yang sesedap badannya untuk dipeluk. Maya dan Suraya tersengih. Gelihati melihat gelagat Laila dan Rafidah yang tadi punyalah bertolak-tolakan tetapi sekarang, sudah serupa belangkas melekat.
            “Nenek aku ada sebab dia tak suka bela kucing,” mukadimah cerita yang keluar dari mulut Defi sudah membuatkan Laila dan Rafidah tertelan air liur.
            “Bukan kau cakap, nenek kau ada penyakit asma ke? Sebab tu dia tak bela kucing kan?” sampuk Rafidah yang dalam takut, tetap bersemangat hendak mendengar cerita.
            “Itu salah satu sebabnya. Tapi nenek aku tu dapat asma baru-baru ni aje. Dia tak suka bela kucing ada sebab lain. Biasalah orang dulu-dulu, tebal dengan kepercayaan karut. Silap-silap boleh berlaku syirik kepada ALLAH dalam tak sedar,”
            “Kepercayaan karut yang macam mana, Def?” Maya pula bersuara, berminat hendak ambil tahu.
            “Dulu kampung ni heboh dengan cerita mayat hidup semula,”
            “Mayat hidup semula???” punyalah lantang Rafidah mengulang balik ayat yang diucapkan Defi itu sampaikan Laila di sebelah, tidak pasal-pasal terjerit sama serupa disergah hantu.
            “Shh! Bangun nenek aku nanti. Payah aku nak pujuk dia masuk tidur balik,” Defi meletakkan jari telunjuknya di atas bibir. Laila mencubit lemak di pinggang Rafidah, geram punya pasal. Disebabkan perempuan itulah, dia menjerit tidak semena-mena.
            “Maaf, Def. Perempuan ni lah! Suara dia kalau bercakap, sehabis kuat. Melayang semangat aku tadi tau!” Laila menyalahkan Rafidah yang sudah terkekeh-kekeh, mentertawakan dirinya. Lagi kuat Laila mencubit Rafidah yang menutup mulutnya dengan telapak tangan supaya ketawanya tidak meletus. Maya tersenyum senget. Gelihati melihat tingkah kawan-kawan baiknya itu yang macam-macam ragam.
            “Sambunglah cerita kau tadi, Def...” Maya, Suraya, Laila dan Rafidah menumpukan perhatian mereka semula pada cerita Defi. Masing-masing sudah duduk rapat-rapat dalam bulatan. Berdebar-debar.
            “Dulu ada sorang dukun perempuan tinggal kat hujung kampung ni...” mendengar istilah ‘dukun’ sudah cukup membuatkan Suraya berasa tidak sedap hati. Hendak melarang Defi dari terus bercerita, tidak terkeluar pula sebarang kata-kata tegahan dari mulutnya. Suraya cuba melawan rasa tidak enak yang tiba-tiba datang itu. Defi menyambung ceritanya lagi.
            “Selalu mengubat orang tetapi permintaannya pelik-pelik. Dia tak mintak pengeras wang ringgit tapi...darah kotor orang perempuan yang masih dara,” Terbeliak mata Laila dan Rafidah. Laila sudah menggelabah. Ada sebab dia seram sejuk begitu.
            “Apa yang dibuatnya dengan darah haid tu?” soal Maya, perlahan suaranya.
            “Entah. Tapi ikut cerita orang kampung, memang itu ajelah permintaan dia setiap kali ada orang yang datang mahu berubat. Disebabkan dia tak minta duit pengeras, itu yang ramai jumpa dia. Walaupun orang anggap dia aneh, tapi dia tak pernah mengacau orang lain. Hidupnya mengubati orang aje walaupun dah terang lagi bersuluh, dia gunakan perantaraan makhluk halus dalam proses mengubatnya tu. Yelah, mustahil orang yang amalkan dengan ayat-ayat Quran mintak yang bukan-bukan,” Rafidah teranngguk-angguk kepalanya.
            “Sampailah satu hari, dia jatuh sakit dan nazak. Orang kampung termasuk nenek aku pergilah datang menjenguk. Ikut cerita nenek aku, perempuan tu dah serupa mayat hidup. Macam tinggal kulit dengan tulang, isi daging dalam badan dia entah ke mana. Nenek aku suruh salah sorang orang kampung panjat bumbung rumah dan bukak atap zink, setentang dengan jasad dia yang tengah berbaring tu,”
            “Apa tujuannya, Defi?” tanya Maya, polos bunyinya.
            “Nenek aku syak perempuan tu ada membela. Dan benda belaan dia tak mahu tinggalkan tubuh perempuan tu. Jadi, bukak atap rumah tu salah satu cara supaya benda yang menumpang dalam badan perempuan tu boleh keluar terus dan jasad tak perlu menanggung azab di hujung-hujung nyawanya,”
            Suraya tertelan air liur. Dia pernah mendengar tentang perihal buka atap rumah itu. Bahkan dia mendengar lisan daripada orang tuanya sendiri. Biasalah, orang dulu-dulu.
            “Dukun perempuan tu...meninggal atau tak, lepas bukak atap rumah tu?” Suraya memberanikan diri untuk bertanya. Masing-masing tertunggu-tunggu penamat cerita Defi itu.
            “Korang rasa?” soal Defi semula. Baik Maya, Suraya, Laila dan Rafidah serentak mengangkat bahu.
            “Perempuan tu meninggal, nenek aku yang rasa denyutan nadi pada pergelangan tangan dia. Tapi keadaan jadi kecoh bila tiba-tiba ada kucing hitam melompat dari tingkap rumah dan langkah jasad perempuan tu. Bertempiaran orang kampung lari bila perempuan tu yang awalnya dah disahkan meninggal dunia tiba-tiba badannya bergerak dan matanya terbukak,”
            Laila dan Rafidah sudah mengusap-usap pergelangan tangan masing-masing. Tidak pasal-pasal bulu roma mereka tegak berdiri dek terbayangkan apa yang diceritakan oleh Defi itu. Hisy, kalau mereka berada di tempat kejadian, memang lari tidak cukup tanahlah jawabnya.
            “Jadi, dukun perempuan tu betul-betul dah mati atau... hidup semula?” tanya Maya lagi, tidak puas hati. Mustahil orang mati boleh hidup semula!
            “Sampai ke hari ni jadi tanda tanya, Maya. Semua orang cabut lari dan nenek akulah orang paling terakhir yang tinggalkan rumah tu. Dia nampak jasad perempuan tu yang terbaring, bukan saja bergerak tapi badan dia bangun tegak sampai paras pinggang dengan kaki berlunjur!”
            Sungguh, masing-masing sudah seram sejuk dibuatnya. Laila dan Rafidah saling berpelukan. Sementara Suraya dalam ketakutan yang amat sangat, jelas boleh dilihat dari matanya yang sekejap-sekejap bergerak memandang ke arah tingkap mahupun pintu di dalam bilik itu. Lain pula halnya dengan Maya yang kelihatan seperti sedang memikirkan sesuatu.
            “Dalam istilah perubatan, it’s called chemical reaction. Berkemungkinan pergerakan pada mayat disebabkan tindak balas anggota fizikal terhadap kesan perubatan atau pemakanan yang diambil sebelum perempuan tu meninggal. Clinical death yang memungkinkan berlakunya tindakan refleks seperti kekejangan otot. Hmm...apa pendapat kau, Defi?” Maya memberi hujahnya dari sudut saintifik.
            “Aku pun tak percaya sangat benda-benda macam ni. Tahyul pun ada. Tapi entahlah...” Defi sendiri tidak tahu hendak percaya yang mana satu. Yalah, tidak mungkin neneknya mahu mengada-adakan cerita.
            “Habis, bila mayat tu bangun balik... apa terjadi seterusnya?” gesa Rafidah supaya Defi menyudahkan ceritanya sampai habis.
            “Beberapa orang kampung yang cabut lari, patah balik ke rumah tu semula atas dasar fardu kifayah. Berdosa satu kampung kalau tak ada orang yang uruskan jenazah tu. Tapi peliknya...bila sampai, jasad perempuan tu dah takde. Hilang. Ghaib macam tu aje! Sampai ke hari ni tak dapat dikesan. Misteri tinggal misteri...”
            “Gila seram, weh! Menyesal aku suruh kau cerita sampai habis!” Merinding belakang tengkuk Rafidah dibuatnya. Bantal dalam dakapan sudah diangkat sampai menutupi separuh muka.
            “Jadi, disebabkan kejadian tulah nenek kau alergik dengan kucing eh?” Maya mencari perkaitan. Defi menganggukkan kepala.
            “Orang lain aje nampak yang melangkah mayat dukun perempuan tu kucing hitam tapi nenek aku nampak benda lain... benda tu menyerupai kucing hitam untuk kaburkan pandangan orang yang tak berisi dalamannya,” terang Defi, sedikit berteka-teki kenyataannya. Baik Maya mahupun Suraya, mudah tangkap apa yang cuba dimaksudkan. Tetapi tidak bagi Laila dan Rafidah yang sudah berkerut-kerut dahi.
            “Tak berisi dalaman tu macam mana? Kita orang tak fahamlah,”
            “Maksud aku...nenek aku tu ada ilmu sikit orangnya. Bukan kosong macam kita berlima ni. Dia boleh nampak dengan mata hati. Menurut nenek aku, bukan kucing hitam yang sebenarnya melangkah mayat tu tapi... makhluk berbulu serupa mawas,”
            Suasana mendadak jadi hening sejurus itu. Masing-masing terkulum lidah masuk ke dalam. Seram menguasai keadaan.
            “Hmm...siapa nama dukun perempuan tu?” Maya memecahkan ruang bisu di antara mereka berlima. Belum sempat bergerak bibir Defi, mereka dikejutkan dengan kehadiran Nek Sirih yang berkerusi roda, terpacul tiba-tiba di depan pintu bilik. Satu per satu tampang anak dara di depan matanya itu dipandang seperti mahu menelan. Maya, Suraya, Laila dan Rafidah sudah kecut perut. Menakutkan betullah Nek Sirih ni! Desis Maya dalam hati.
            “Korang berjaga lagi ni kenapa? Tidur! Tidur!” marah Nek Sirih, mencerlung tikaman matanya. Defi lekas bangun dan menolak kerusi roda Nek Siri masuk ke dalam bilik wanita itu semula. Sempat dia membega-begakan wajah, mengisyaratkan supaya kawan-kawannya itu untuk tutup lampu bilik dan segera tidur. Kalau tidak boleh tidur sekalipun, memadailah dengan berpura-pura tidur supaya Nek Sirih tidak buat perangai pula tengah-tengah malam begini. Defi bukannya tidak tahu dengan ragam neneknya yang seorang itu. Pantang nampak muka Maya, ada saja caci maki keluar dari mulut wanita itu. Entah apalah nasib malang kawan baiknya itu diseranah tanpa sebab.
            Cahaya oren dari mentol lampu yang terpasang menerangi segenap ruang bilik tetamu itu, sudah dipetik suis padamnya. Gelap gelita. Keempat-empat anak dara itu menarik selimut sampai ke leher. Berderet posisi tidur mereka. Takut punya pasal. Sementelahan, mereka tidak sedar yang hari sudah larut malam. Tidak sangka pula mereka, sembang-sembang dengan Defi tadi membawa mereka hingga ke jam 12.00 malam.
            “Fidah, kau boleh temankan aku kejap tak?” bisik Laila serupa nyamuk membuat bising di cuping telinga Rafidah.
            “Kau nak ke mana lagi ni? Tidur ajelah!” marah Rafidah walaupun hakikat sebenarnya, dia lebih sanggup lemas kejung dalam selimut itu dari merayap di dalam rumah itu.
            “Tolonglah temankan aku kejap pergi bilik air,” desak Laila lagi.
            “Hisy! Kau dah kenapa? Bukan awal-awal tadi kau dah buang air apa?”
            “Aku bukannya nak buang airlah, ngok. Aku nak tukar pad. Rasa tak selesa sangat-sangat dah ni. Aku bendera jepun sejak petang tadi,” jawab Laila sambil menarik-narik hujung selimut Rafidah. Mujurlah tuala wanita memang sudah siap sedia dibawanya dari Kuala Lumpur. Tidaklah kalut apabila tiba waktunya.
            “Tak mahu aku! Kau ajaklah Maya ke...Su ke... Aku mengantuk,” balas Rafidah mencipta alasan. Dia takut sebenarnya. Sudahlah baru mendengar cerita Defi tentang dukun perempuan itu yang mahukan darah kotor perempuan yang masih dara sebagai pengeras dalam mengubat pesakitnya. Tidak semena-mena dia terbayangkan perkara yang bukan-bukan.
            “Mengantuklah sangat! Cakap ajelah pengecut!”
            “Eh, kau kalau berani sangat, pergilah tandas sorang-sorang. Nak jugak aku yang temankan, apa kes?” Rafidah naik angin tetapi masih dalam nada berbisik kedua-duanya. Maya yang sudah layu kelopak matanya, hampir-hampir mahu terlelap, terbantut dibuatnya.
            “Korang ni berbisik-bisik serupa nyamuk kat telinga aku ni, kenapa?” marah Maya. Mana tak marah, bilik yang sepatutnya didiami berdua dengan Suraya, boleh jadi berempat. Tak selesa jadinya.
            “Laila ni, Maya. Dia period, nak tukar pad. Bukan nak pergi bilik air sorang-sorang, aku pula dipaksanya mengikut. Aku dah mengantuk tahap mata panda ni,” jawab Rafidah, kemudian berpura-pura berlakon berkeruh tidur. Maya melurutkan selimutnya hingga ke paras pinggang lalu bangun. Tidak sampai hati.
            “Marilah aku temankan kau...” Laila tersenyum senget. Lekas saja dia bangun. Tuala wanita yang disimpan di dalam beg pakaian, dikeluarkannya satu. Tidak lupa, sekeping plastik hitam dibawanya sekali. Sudah menjadi kebiasaannya untuk memasukkan tuala wanita yang sudah dipakai ke dalam plastik dan diikatnya. Siang hari nanti, baru dibuangnya.
            Maya berdiri di luar pintu bilik air, menunggu Laila selesai membersihkan diri. Nasib baiklah kampung Defi ini sudah maju, ada bilik air dan tandas di dalam rumah. Terbayang Maya di dalam kepala, rumah-rumah kampung di pedalaman yang mendirikan tandas di luar rumah dan ada juga yang masih menggunakan air perigi. Seram pun iya juga.
            “Dah ke belum tu? Kau berangan apa lama-lama dalam tu?” soal Maya selepas lima minit berlalu. Laila bertaut tandan dahinya sebaik membuka pintu bilik air. Seperti ada sesuatu yang tak kena.
            “Maya... darah period aku warna hitam pekatlah, tak pernah-pernah pulak sebelum ni,” Laila mengadu dengan riak muka resah.
            “Kau bercakap macamlah kau baru akil baligh. Dah ini hari pertama kau datang bulan, memanglah pekat warna darahnya. Nanti lama kelamaan, kembali merah dan semakin pudarlah warnanya. Ayooo...macam budak-budaklah kau ni!”
            “Macam tu eh?” Hilang kerutan pada dahi perempuan itu diganti dengan sengihan di wajah. Maya menggeleng-gelengkan kepala. Apa punya perempuanlah!
            “Jomlah masuk bilik, mata aku dah mengantuk sangat ni,” ajak Maya yang sudah menonong hendak masuk ke dalam bilik semula. Kelopak matanya separuh terbuka. Laila yang mengekori, tiba-tiba saja merentap pergelangan tangan dari belakang. Terenjat sekejap saraf otaknya. Laila cepat-cepat meletakkan jari telunjuknya ke mulut sebaik Maya berkalih memandangnya. Ekor mata Laila menghantar isyarat supaya Maya melihat ke satu arah. Terbantut langkah perempuan itu dan berundur sedikit ke belakang. Maya menggosok-gosok kelopak matanya. Laila sudah menggigil satu badan.
            “Kkk...kau nampak kan apa yang aaa...aku nampak?” Laila menggeletar nadanya. Maya menganggukkan kepala. Mati akal kedua-duanya sama ada mahu melangkah terus masuk ke dalam bilik itu atau tercegat berdiri di situ saja. Otak Maya ligat berfikir, menimbang sebarang kemungkinan. Siapa pula yang tidur berselimut menutupi satu badan di antara Rafidah dan Suraya itu?
            “Kita buka suis lampu bilik, nak?” cadang Maya, nekad hendak berbuat demikian. Laila tidak mampu berfikir apa-apa lagi. Dia menyerahkan bulat-bulat kepada Maya. Dalam hati, dia bersyukur sangat-sangat kerana pergi bilik air berteman. Kalaulah dia seorang-seorang tadi, tidak tahulah apa akan jadi kepada dirinya.
            Dalam kiraan satu, dua dan tiga, Maya memetik suis lampu dan sepantas kilat menarik hujung selimut kawan-kawannya. Rafidah dan Suraya terjerit kecil kerana sangka mereka, ada benda lain yang melurutkan selimut mereka. Maya dan Laila, terkejap-kejap kelopak mata masing-masing. Mereka saling berpandangan hairan.
            “Korang ni dah kenapa?” Rafidah yang turun naik turun naik nafasnya akibat terperanjat, mengurut-urut dadanya yang berombak. Suraya kalut memandang liar ke segenap ruang di dalam bilik itu.
            “Ttt...tadi korang tak perasan apa-apa ke?” soal Laila yang sudah tidak tentu arah keadaannya. Manakan tidak, dia yang nampak dulu!
            “Perasan apa?” Suraya bingkas bangun. Bulu romanya sudah meremang sampai ke ubun-ubun kepala. Dia dapat rasakan Maya dan Laila ternampak akan sesuatu sehinggakan tampang masing-masing bertukar menjadi pucat lesi.
            “Kita orang nampak ada orang tidur berselimut betul-betul kat tengah korang berdua tadi,” jawab Laila membuatkan Rafidah dan Suraya membuntang mata mereka. Seperti terkena renjatan elektrik, kedua-duanya bangun mendadak. Berlari dua perempuan itu memeluk Maya dan Laila yang terdorong batang tubuh mereka berdua ke dinding akibat dirempuh dari depan. Suraya sudah mengongoi di cuping telinga Maya, mahu balik ke Kuala Lumpur pada malam itu juga.
            “Korang bertenanglah...mungkin aku dengan Laila tersilap pandang kut tadi. Gelembung angin dalam selimut barangkali. Takpun, bantal. Betul tak, Laila?” Maya cuba menenangkan perasaan Suraya, tidak mahu memburukkan lagi keadaan. Lagipun, hari sudah larut malam. Apa pula kata Defi nanti? Sementelahan, mereka ke kampung orang tua Defi pun dengan menumpang jip perempuan itu. Masakan sewenang-wenangnya mahu menggesa Defi untuk balik secara tiba-tiba. Hati sahabat seeloknya dijaga.
            “Err...bbb...betul,” jawab Laila lambat-lambat. Walhal, mahu saja dia menjerit yang dia memang nampak dengan jelas ada bentuk sekujur tubuh manusia berbaring melintang di balik selimut tadi. Mustahil dia tidak tahu membezakan antara bentuk kepala juga bentuk sepasang kaki manusia. Gelembung angin apa kejadahnya?
            “Mohlah kita tidur...dah nak dekat pukul 1.00 pagi ni,” ajak Maya tetapi disambut dingin oleh kawan-kawannya yang lain. Masing-masing memilih untuk tercegat berdiri melekat di tepi dinding. Raut ketakutan terserlah pada riak muka ketiga-tiga anak dara berkenaan. Maya tidak tahu bagaimana caranya lagi mahu memujuk. Hujung sekali, pendekatan reverse psychology diambilnya.
            “Kalau korang memilih untuk terpacak kat situ sampai subuh, dipersilakan. Lagi macam-macam korang nampak nanti. Benda-benda macam ni, kalau dalam kepala kita asyik fikir bukan-bukan, memanglah akan menjelma depan mata. Lebih baik tidur. Minta perlindungan dari ALLAH, habis cerita!” putus Maya lalu merebahkan tubuhnya lalu menarik selimut. Hendak tidak hendak, Laila, Rafidah dan Suraya mengikut juga.
            Masing-masing tidur berhimpit antara satu sama lain. Rafidah dan Laila berpelukan erat. Keadaan bilik yang kembali gelap selepas suis lampu ditutup, membuatkan kedua-duanya berasa tidak tenteram. Pejam sekalipun kedua-dua belah kelopak mata tetapi tetap tidak mahu terlelap. Beberapa jam berlalu tetapi Laila masih berjaga. Dengkuran halus Rafidah di sebelah kanannya yang sekali-sekala menghinggap gegendang telinga, menandakan perempuan itu sudah selamat berlayar ke alam mimpi. Tinggallah dia seorang melayan bisu suasana.
            Laila mengagak-agak dalam kepala. Barangkali sekarang ini sudah pukul dua atau tiga pagi. Cemburunya dia melihat Maya, Suraya dan Rafidah yang sudah nyenyak tidur. Laila mengalihkan posisi baringnya dengan mengiring ke kanan. Selimut diselubung satu badan hingga ke paras hidung. Terkebil-kebil kelopak matanya, separuh tertutup rapat, separuh lagi terbuka nipis.
            “Kau tak dapat tidur jugak ke?” bisik suara Suraya yang baring di sebelah kirinya.
            “Lah, kau pun tak tidur lagi ke? Ingatkan aku sorang aje,” pantas Laila menjawab.
            “Aku temankan kau...”
            Laila berkalih badannya ke sebelah kiri. Niat hendak bersembang dengan Suraya tidak jadi apabila dilihatnya perempuan itu sedang nyenyak tidur. Laila tergamam. Air liur yang ditelan pada saat itu terasa berpasir. Sungguh, dia terasa mahu terkencing di situ juga. Suara siapa yang didengarinya baru sekejap tadi itu? Mahu saja dia menjerit seperti orang terkena histeria tetapi ditahannya dalam-dalam. Laila menangis dalam diam. Menangis ketakutan. Mengharap malam yang panjang itu berakhir dengan cepat. Dia boleh jadi gila selagi dia masih ada di kampung itu!
            Laila nekad membuat keputusan. Esok juga dia mahu balik ke Kuala Lumpur! Dia tak sanggup hendak berlama-lama lagi di situ! Apa hendak jadi, jadilah!






No comments: