Thursday, 16 February 2017

NOVEL TERBARU - KISAH SERAM MALAM JUMAAT

Salam.

Sebuah lagi projek khas yang Nua terlibat selepas projek novelet rantaian KALA SENJA DIA DATANG dan projek novelet bertema PROJEK SERAM LOMBONG, diberi nama KISAH SERAM MALAM JUMAAT VOL 1 atau akronimnya KSMJ.

KSMJ mempunyai banyak siri (sama seperti projek seram bertema cover warna-warni tu) dan Nua hanya akan terlibat untuk satu volume sahaja. Harga senaskhah novel ini adalah RM20. Ada 4 cerita berbeza daripada 4 penulis lelaki.

Karya Nua di dalam KSMJ berjudul Syaitan. Boleh dibaca 10% isi kandungannya di pautan ini...

Bagi yang mahu memesan secara atas talian, boleh ke portal Karangkraf Mall di pautan ini...

Jemput dapatkan di pasaran nanti.


FRAGMEN SYAITAN

Keadaan bilik wuduk semerta terang-benderang. Anehnya, lapan kepala paip yang ada di dalam bilik itu, kesemuanya terbuka. Air deras keluar mencurah-curah.

“Siapalah yang tak tutup air ni? Membazir betul.” rungut Kak Latifah, tergeleng-geleng kepala.

Dalam masa yang sama, seorang yang lengkap bertelekung masuk ke dalam bilik wuduk itu lalu membongkok di kepala paip paling hujung sekali. Pancuran air jelas kedengaran. Kak Latifah yang sudah berada di muka pintu hendak keluar, tergerak hati hendak menoleh. Entah kenapa, dadanya berdebar-debar.

Sebaik saja dia berkalih, tertelan air liur perempuan itu. Air paip terbuka tetapi tiada siapa-siapa yang berada di situ. Mendadak bulu romanya merinding satu badan. Tergocoh-gocoh Kak Latifah ke bahagian muslimah semula.

“Kenapa, kak?” giliran Diah pula bertanya apabila melihat raut muka Kak Latifah cuak semacam. 

“Akak rasa akak pun nampak apa yang kamu nampak...” bisik Kak Latifah, kesat menelan air liurnya.

“Dekat surau, takkan ada benda tu kak?” Diah berderau darahnya.

“Dia ada aje di mana-mana. Kalau tidak, Nabi tak ada berpesan kepada kita semua supaya lurus dan rapatkan saf bila solat berjemaah.”




No comments: