Thursday 18 June 2015

BONDA NOR | REVIEW NOVEL CINTA BIAR MEREKA CEMBURU | A.DARWISY


BIAR MEREKA CEMBURU

Jujur. Saya memang kurang berminat membaca novel walau pun saya seorang penulis novel. Saya cuma menulis mengikut kata hati dan sekadar menzahirkan ilham yang Allah beri. Namun seperti sifu penulisan saya, Tuan Haji Zakaria Sungib yang pernah ‘memaksa’ dirinya membaca beberapa novel remaja, maka saya juga cuba melakukannya. Benar kata beliau, hanya dengan cara ini sahajalah kita dapat mengetahui apa yang masyarakat kita mahu dan mengapa sesebuah karya itu laku.

Alhamdulillah, dalam kesibukan tugas harian, sempat juga saya menamatkan pembacaan naskhah Biar Mereka Cemburu karya A.Darwisy ini. Penulis muda ini adalah pemenang kategori Penulis Pilihan semasa Anugerah Buku Karangkraf tahun lalu. Saya sempat bertemu dan berbual dengannya semasa PBAKL 2014 dan persepsi awal saya – dia seorang anak muda yang cukup menyenangkan. Ramah, gila-gila dan sopan.

Biar Mereka Cemburu juga begitu. Santai sahaja namun tetap ada isinya. Ia kisah cinta orang muda – mungkin kurang sesuai lagi dengan jiwa saya yang sudah tua. Namun, alhamdulillah pendekatan yang digunakan oleh Anuar Darwisy selari dengan pendekatan saya - menyebarkan ilmu menerusi cerita. Membaca karya anak muda ini, sesekali saya tergelak sendiri bila berdepan dengan ayat-ayatnya yang selamba dan ‘scene’ yang mencuit hati. Allahuakbar. Padanlah karya penulis ini begitu digemari!

Meski pun saya tidak boleh mengkategorikan novel ini sebagai sebuah novel tarbiah, namun berbanding beberapa novel popular lain yang pernah saya baca, ternyata Biar Mereka Cemburu tidak kosong – tidak hanya menumpu pada fantasi penulis semata-mata. Novel popular ini ada isinya! Alhamdulillah. Bertambah juga ilmu saya setelah membacanya.

Usaha yang sangat baik, Anuar Darwisy! Tahniah! Teruskan menghasilkan karya-karya yang baik untuk santapan minda masyarakat kita!

No comments: